PETALING JAYA: Ringgit dijangka terus menguji paras antara RM4.20 hingga RM4.18 bagi setiap satu dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini dengan purata dijangka kekal pada RM4.20, lebih kukuh berbanding RM4.22 minggu lalu.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pengukuhan ringgit itu sudah dijangkakan susulan ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell minggu lalu yang memberi isyarat besar kemungkinan kadar faedah AS akan dikurangkan pada September ini dan sekali lagi sebelum akhir 2025.
“Dolar AS dijangka terus melemah sebagaimana ditunjukkan oleh Indeks Dolar (DXY) yang kekal di bawah 100 mata, sekitar 97 hingga 98 mata,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau berkata, data awal dari AS menunjukkan kenaikan kadar inflasi susulan pelaksanaan tarif import oleh Presiden AS, Donald Trump, selain tekanan ke atas Fed supaya menurunkan kadar faedah.
“Ekonomi AS dijangka perlahan dengan kadar import yang sudah menunjukkan penyusutan ketara.
“Keyakinan pengurus dana terhadap bon Perbendaharaan AS turut merosot berikutan defisit perbelanjaan kerajaan yang berterusan.
“Keadaan itu mendorong kepada penjualan berterusan instrumen berkenaan sekali gus menyumbang kepada kelemahan dolar AS,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, ringgit dijangka kekal sekitar RM4.20 bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan akan datang, namun faktor pengumuman Fed AS itu dianggap kecil kerana ia tidak berkait secara langsung dengan asas fundamental ekonomi Malaysia.
“Oleh itu, apa yang lebih penting adalah untuk melihat sama ada asas ekonomi negara, khususnya prestasi eksport, mampu terus mengukuh sehingga dapat menyokong pengukuhan ringgit.
“Kita masih menunggu perkembangan prestasi eksport selepas perubahan kadar tarif, sama ada ia akan memberi kesan positif kepada eksport Malaysia, terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor.
“Pada masa sama, kita juga ingin melihat sejauh mana kekuatan keluaran perkilangan lain,” ujarnya.
Dari segi komoditi, beliau berkata, eksport minyak sawit dan sarung tangan getah telah menunjukkan peningkatan, namun sumbangan itu masih belum mencukupi untuk mendorong permintaan yang lebih tinggi terhadap ringgit berbanding dolar AS.-UTUSAN