Ringgit bergerak dalam julat sempit sekitar RM4.224

Ringgit bergerak dalam julat sempit sekitar RM4.224

ringgit
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dilihat bergerak dalam julat sempit antara RM4.224 hingga RM4.2318 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sejajar dengan sentimen berhati-hati pelabur menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan datang.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ketidaktentuan pasaran semakin ketara apabila pelabur menilai kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) melaksanakan pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas dalam mesyuarat yang dijadualkan tidak lama lagi. 

Katanya, spekulasi ini dipacu oleh data bercampur-campur dari AS minggu lalu, khususnya dinamik indeks inflasi pengguna (CPI) dan indeks harga pengeluar (PPI), yang menunjukkan tekanan harga kekal tinggi, sementara kelemahan dalam pasaran buruh semakin ketara.

”Indeks Dolar AS (DXY) menurun sedikit sebanyak 0.02 peratus kepada 98.241 mata, mencerminkan sikap tunggu dan lihat para pedagang sebelum penerbitan minit mesyuarat FOMC.

“Pasaran turut menantikan kenyataan daripada beberapa pegawai kanan Fed, termasuk Presiden Fed Atlanta, Raphael Bostic yang dijangka memberi gambaran lebih lanjut mengenai hala tuju dasar monetari negara itu.

“Fed kini berada dalam kedudukan sukar. Walaupun inflasi memerlukan kawalan rapi, tanda-tanda kelemahan dalam pasaran buruh boleh memaksa mereka untuk mula melonggarkan dasar monetari lebih awal daripada jangkaan,” ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Melihat kepada perkembangan ini, Mohd. Afzanizam berkata, ringgit dijangka terus berdagang dalam julat sempit dalam tempoh terdekat, sekitar paras RM4.22 hingga RM4.23, dengan pelabur kekal berwaspada terhadap sebarang petunjuk baharu yang mungkin mempengaruhi dasar Fed dalam masa terdekat.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, ringgit dijangka terus menunjukkan prestasi lemah berbanding dolar AS dengan paras diunjurkan berada pada julat antara RM4.40 hingga RM4.50 sehingga penghujung tahun ini.

Jelasnya, kelemahan ringgit ketika ini berpunca daripada kekurangan sokongan belian jangka panjang, di samping kecenderungan Malaysia dan negara serantau untuk terus berdagang menggunakan mata wang dolar AS.

“Sokongan terhadap ringgit masih lemah. Walaupun kita berdagang dengan negara ASEAN, kita masih menggunakan dolar Amerika sebagai mata wang transaksi utama, bukan ringgit atau mata wang serantau lain,” katanya.

Menurut beliau, faktor permintaan luaran terhadap ringgit juga rendah dan ini menyukarkan mata wang tempatan untuk menunjukkan pengukuhan ketara dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah proaktif bagi menyokong pengukuhan ringgit dalam jangka sederhana dan panjang.

“Antara inisiatif yang boleh dipertimbangkan ialah promosi yang lebih agresif di peringkat antarabangsa berkaitan ekonomi Malaysia yang kini sedang berkembang pesat. Ini penting untuk membina semula keyakinan pelabur asing terhadap pasaran kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN