PETALING JAYA: Ringgit mencatatkan pengukuhan sebanyak 5.8 peratus kepada paras RM4.2270 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat 6 Ogos 2025, menunjukkan prestasi kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan luaran.
Kementerian Kewangan berkata, permintaan terhadap ringgit kekal disokong oleh asas ekonomi yang kukuh dan keyakinan pelabur.
Menurutnya, ekonomi Malaysia turut kekal berdaya tahan walaupun berdepan peningkatan ketegangan perdagangan global.
“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2025 berkembang sebanyak 4.4 peratus, dipacu penggunaan isi rumah, pelaburan dan sektor pembinaan.
“Momentum ini dijangka berterusan pada suku kedua 2025 dengan anggaran awal pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus. Namun, ekonomi Malaysia 2025 kekal berdaya tahan dan dijangka berkembang antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus walaupun berdepan perkembangan global yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan Prabelanjawan 2026.
Kementerian itu berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik telah menunjukkan hasil ketara, termasuk Malaysia merekodkan jumlah pelaburan diluluskan berjumlah RM384.4 bilion pada 2024.
“Ia merupakan rekod tahun kedua berturut-turut mencatat paras tertinggi berbanding RM329.5 bilion pada 2023.
“Momentum tersebut berterusan pada suku pertama 2025 dengan pelaburan diluluskan meningkat 3.7 peratus tahun ke tahun kepada RM89.8 bilion.
“Peningkatan ini memperkukuh keyakinan terhadap pelaksanaan reformasi di bawah kerangka Ekonomi Madani,” katanya.
Dalam para itu, penarafan kredit Malaysia kekal pada A3 oleh Moody’s Investor Service, A- oleh S&P Global Ratings dan BBB+ oleh Fitch Ratings dengan prospek ‘stabil.
“Faktor utama penarafan Malaysia termasuk kepelbagaian ekonomi, pertumbuhan yang berdaya tahan, sistem perbankan yang teguh dan dedahan hutang Kerajaan Persekutuan yang rendah terhadap risiko tukaran asing.
“Malaysia juga melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Laporan Daya Saing Dunia IMD 2025, merupakan pencapaian terbaik sejak 2020 dan satu-satunya negara mencatat peningkatan dua digit.
“Peningkatan itu didorong oleh aktiviti ekonomi yang rancak serta penambahbaikan tadbir urus awam dan swasta selari dengan aspirasi meletakkan Malaysia dalam kalangan 12 ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033,” katanya.
Kementerian Kewangan berkata, Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang diterajui Kementerian Kewangan berjaya menggerakkan pelaburan langsung domestik (DDI) sebanyak RM11 bilion ke dalam sektor berimpak tinggi termasuk semikonduktor dan tenaga boleh baharu.
“Ini sebahagian daripada komitmen RM25 bilion oleh enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). Seramai 153,000 pekerja turut menerima manfaat daripada dasar gaji wajar minimum RM3,100 sebulan yang diperkenalkan 34 GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan terus memperkukuh jaringan keselamatan sosial melalui pelaksanaan subsidi bersasar.
“Susulan pengumuman Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk semua, peruntukan gabungan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA dinaikkan kepada RM15 bilion pada 2025 meruapakan peningkatan lebih tujuh kali ganda berbanding program tunai langsung pertama pada 2012.
“Langkah ini turut merangkumi bayaran sekali sebanyak RM100 dalam bentuk kredit SARA kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas,” katanya. – UTUSAN