PETALING JAYA: PMB Investment Berhad (PMB Investment) mengagihkan pendapatan bagi bagi PMB Shariah Aggressive Fund dan PMB Shariah Small-Cap Fund bernilai RM4.43 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025
Daripada jumlah itu, PMB Shariah Aggressive Fund menyumbang agihan sebanyak RM4.21 juta atau 2.00 sen seunit dan nilai aset bersih (NAB) seunit dana berkenaan diselaraskan kepada 43 sen selepas agihan, mewakili hasil 4.08 peratus berdasarkan NAB penutupan.
Sementara itu, PMB Shariah Small-Cap Fund mengagihkan 1.00 sen seunit bernilai keseluruhan RM221,881.93 dengan NAB diselaraskan kepada 56 sen seunit, bersamaan hasil 1.65 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif (Dilantik) PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin berkata, agihan itu mencerminkan pendekatan pelaburan berdisiplin mereka dan prestasi dana yang kukuh.
“PMB Shariah Aggressive Fund telah mencatatkan pulangan terkumpul tiga tahun sebanyak 19.34 peratus atau purata 6.45 peratus setahun sehingga 31 Julai 2025, di samping hasil 4.08 peratus pada hari ini.
“PMB Shariah Small-Cap Fund pula mencapai pulangan terkumpul tiga tahun sebanyak 50.77 peratus (purata 16.92 peratus setahun) dengan hasil 1.65 peratus.
“Kami kekal optimis terhadap peluang pelaburan patuh syariah serta keupayaan penyelidikan kami untuk memberikan nilai berterusan kepada pemegang unit,” katanya dalam kenyataan.
Dilancarkan pada 1972, PMB Shariah Aggressive Fund merupakan dana keenam PMB Investment, manakala PMB Shariah Small-Cap Fund dilancarkan pada 16 Mei 2016.
Kebiasaannya, dana ini memperuntukkan antara 80 peratus hingga 99.5 peratus (Aggressive Fund) dan 70 peratus hingga 95 peratus (Small-Cap Fund) daripada NAB masing-masing ke dalam ekuiti dan sekuriti berkaitan ekuiti patuh syariah.
Baki dana dilaburkan dalam instrumen pasaran wang Islam, penempatan deposit Islam, sukuk, serta pelaburan lain yang dibenarkan patuh syariah.
Selain itu, peruntukan ekuiti dikaji semula secara aktif berdasarkan keadaan ekonomi dan pasaran global, serantau dan domestik, termasuk penilaian menyeluruh terhadap perkembangan politik, ekonomi serta perniagaan sebelum sebarang keputusan pelaburan dibuat.
Dalam pada itu, Pengerusi PMB Investment, Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman berkata, agihan konsisten tersebut mencerminkan pengalaman dan kesungguhan pengurus dana mereka serta kejayaan penggunaan Platform Penyelidikan Nasdaq Dorsey Wright (NDW) dalam mengenal pasti pelaburan patuh syariah berkualiti tinggi.
“Dengan menggabungkan pendekatan asas yang kukuh dan pandangan berpandukan teknologi, dana kami terus memberikan nilai yang baik kepada pemegang unit sambil mengekalkan piawaian tertinggi dalam pelaburan Islam.
“Lembaga pengarah kekal yakin bahawa keupayaan penyelidikan kami akan terus memacu prestasi mampan bagi keseluruhan portfolio dana kami,” ujarnya. – UTUSAN