PLUS sasar mobiliti hijau, 112 pengecas EV kini beroperasi

PLUS sasar mobiliti hijau, 112 pengecas EV kini beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengoperasikan 112 poin pengecas kenderaan elektrik (EV) di sepanjang lebuh raya kendaliannya, termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), sekali gus melebihi sasaran awal syarikat iaitu 100 poin pengecas menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, kemudahan tersebut ditempatkan secara strategik di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah serta stesen minyak terpilih bagi memastikan akses lebih mudah kepada pengguna EV.

“Pelaksanaan ini sejajar dengan Pelan Hala Tuju Hijau PLUS 2.0 selain menyumbang kepada sasaran nasional menyediakan 1,000 poin pengecas pantas menjelang 2025 di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (2021-2030).

“Sebahagian fasiliti ini turut dilengkapi bumbung solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) bagi menyokong agenda kelestarian,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Nik Airina berkata, PLUS turut menyasarkan pembukaan Hab EV Lebuhraya pertama di negara ini di R&R Seremban (Arah Selatan) menjelang suku pertama 2027. 

“Hab tersebut akan dibangunkan oleh Terra ChargEV, usaha sama antara anak syarikat PLUS, Terra PLUS Sdn. Bhd. dan Green EV Charge.

“Selain itu, syarikat juga bakal memperkenalkan projek perintis berkonsepkan ‘Charge and Chill’ di beberapa plaza tol terpilih bermula tahun depan yang menggabungkan fasiliti pengecasan EV dengan kemudahan makanan dan minuman (F&B) bagi memberi pengalaman lebih baik kepada pengguna,” ujarnya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial PLUS, Mohd. Fauzi Puniran berkata, kesemua poin pengecas EV di lebuh raya PLUS dan LPT2 menggunakan pantas arus terus (DCFC) dengan kuasa output antara 47 kilowatt (kW) hingga 200 kW.

“Dengan teknologi ini, kenderaan boleh mencapai 80 peratus tahap pengecasan hanya dalam tempoh 15 hingga 30 minit, bergantung kepada spesifikasi EV serta tahap bateri sedia ada.

“Semua pengecas menggunakan penyambung CCS2 universal yang serasi dengan kebanyakan jenama EV utama di pasaran,” katanya. 

Tambah beliau, kemudahan R&R yang menempatkan pengecas turut dilengkapi restoran, kedai serbaneka, surau, tandas dan ruang menunggu berbumbung untuk keselesaan pengguna sepanjang tempoh pengecasan.

“Kadar penggunaan pengecas EV di lebuh raya kendalian PLUS menunjukkan pertumbuhan stabil tahun ini dan dijangka meningkat seiring dengan pertambahan pemilikan kenderaan elektrik.

“Lokasi pengecas boleh dikenal pasti melalui aplikasi mudah alih PLUS serta aplikasi lain seperti JomCharge, Gentari Go dan ChargEV yang membolehkan pengguna menyemak ketersediaan masa nyata, membuat pembayaran serta memantau sesi pengecasan dengan lebih mudah.

“PLUS akan terus memberikan komitmen dalam menyediakan tahap perkhidmatan dan pengalaman perjalanan yang lebih baik kepada pengguna lebuh raya pada masa hadapan,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×