Petronas, Petros mohon tangguh perbicaraan, rundingan masih berlangsung

Petronas, Petros mohon tangguh perbicaraan, rundingan masih berlangsung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuching hari ini membenarkan permohonan Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) untuk menangguhkan prosiding kes yang sedang berlangsung.

Penangguhan selama sebulan itu dipohon bersama oleh kedua-dua pihak bagi memberi ruang kepada rundingan yang sedang berjalan diteruskan.

Menurut kenyataan, Petronas dan Petros kini masih terlibat dalam perbincangan dengan matlamat mencari penyelesaian secara bersama.

Petronas dan Petros telah meminta mahkamah untuk menentukan pihak yang berhak menerima bayaran bagi bekalan gas ke fasiliti Shell MDS (Malaysia) Sdn. Bhd. di Bintulu.

Sebelum ini, perjanjian bekalan gas telah ditandatangani antara Petronas dan Shell MDS pada 2020, tetapi Petros kemudian menandatangani perjanjian lain dengan Shell MDS pada 2024 selepas diberi mandat oleh kerajaan negeri Sarawak untuk bertindak sebagai pengagregat gas tunggal di negeri itu.

Mahkamah telah mengarahkan Petronas supaya meneruskan bekalan gas kepada Shell MDS walaupun tidak menerima bayaran bulanan yang boleh mencecah antara RM70 juta hingga RM100 juta. 

Petronas kini mencabar perintah injunksi tersebut.

Pertikaian ini memuncak di tengah-tengah tekanan yang semakin meningkat dari Sarawak untuk mendapatkan kawalan yang lebih besar ke atas sumber minyak dan gasnya, termasuk memperoleh pulangan yang lebih tinggi melalui bahagian bekalan gas yang lebih besar untuk pembangunan domestik.

Sarawak, yang memiliki lebih 40 peratus rizab gas negara, turut mengeksport gas asli cecair (LNG) melalui kontrak yang dimiliki oleh Petronas.

Perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg awal tahun ini telah membawa kepada pelantikan Petros sebagai pengagregat gas di negeri itu.

Dalam masa yang sama, kedua-dua kerajaan menyatakan mereka akan terus mengiktiraf Akta Pembangunan Petroleum sebagai satu Akta Persekutuan seperti yang dinyatakan dalam peruntukan undang-undang” dan memberi jaminan bahawa kontrak eksport sedia ada tidak akan terjejas.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN