Petronas Chemicals catat rugi bersih RM1b pada suku kedua

Petronas Chemicals catat rugi bersih RM1b pada suku kedua

PCG catat pendapatan lebih tinggi berbanding suku sebelumnya. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) mencatatkan rugi bersih RM1 bilion bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Prestasi tersebut didorong oleh gangguan dalaman dan luaran terhadap operasi, di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang meningkat di Asia Barat dan pengumuman tarif yang menjejaskan harga minyak mentah serta melemahkan nilai dolar Amerika Syarikat (AS).

Hasil kumpulan menurun sebanyak 16 peratus suku ke suku kepada RM6.4 bilion, disebabkan oleh jumlah jualan dan purata harga produk yang lebih rendah.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) susut 56 peratus suku ke suku kepada RM395 juta, terutamanya disebabkan oleh tebaran produk yang lebih rendah untuk urea dan metanol.

Ia juga disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd (PPCSB) berikutan kerugian pertukaran asing yang tidak direalisasi.

PCG mengistiharkan dividen interim sebanyak tiga sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berjumlah RM240 juta yang perlu dibayar pada September 2025.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, suku kedua 2025 menyaksikan beberapa cabaran operasi dalaman dan luaran yang menjejaskan prestasi loji kumpulan.

“Secara dalaman, kami secara proaktif menutup operasi PC Ethylene untuk pembaikan dinding vesel tanpa menjejaskan komitmen kepada pelanggan. Kami juga membuat keputusan untuk mengecilkan operasi di PC Aromatics atas faktor ekonomi yang tidak menguntungkan.

“Dari aspek luaran, loji kami di PC Fertiliser Kedah terjejas oleh gangguan bekalan bahan mentah susulan insiden paip gas di Putra Heights. Gangguan ini telah diselesaikan dan operasi telah pulih sepenuhnya pada Jun 2025,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai pertumbuhan, Mazuin berkata, pasaran komoditi kekal mencabar di tengah-tengah lebihan bekalan dan ketegangan perdagangan serta geopolitik yang berterusan.

Namun begitu, katanya, permintaan terus berkembang, terutamanya di Asia, didorong oleh pertumbuhan penduduk dan urbanisasi.

“Kemudahan kami di Pengerang, yang dibina untuk menyokong pertumbuhan ini, kini sedang beroperasi untuk memenuhi Ujian Kebolehpercayaan Pemiutang menjelang akhir tahun,” katanya.

Mengenai strategi, Mazuin berkata, sejajar dengan persekitaran pasaran yang semakin dinamik, PCG sedang menjalankan semakan semula portfolio strategik merentasi keseluruhan rantaian nilai.

“Walaupun menghadapi cabaran pasaran dan operasi sepanjang suku ini, kedudukan kewangan kami kekal kukuh. Tambahan pula, inisiatif penciptaan nilai dan pengoptimuman kos telah membawa kepada peningkatan lebih RM200 juta dalam EBITDA setakat tahun ini.

“Ini membolehkan kami mengisytiharkan dividen interim sebanyak RM240 juta, yang menegaskan komitmen berterusan kami kepada pemegang saham dalam memberikan nilai jangka panjang yang mampan.

“Walaupun keadaan pasaran kekal mencabar, kami yakin bahawa asas kukuh, digabungkan dengan inisiatif yang sedang dijalankan, akan terus mengukuhkan daya tahan kami,” katanya.

Memandang ke hadapan, beliau berkata, sementara keadaan pasaran kekal mencabar, pihaknya yakin asas kukuh digabungkan dengan inisiatif sedang dijalankan akan terus mengukuhkan daya tahan kumpulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN