PETALING JAYA: Keputusan FGV Holdings Bhd. untuk dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia dijangka memberi ruang lebih luas kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk merombak dan menyusun semula syarikat perladangan gergasi itu dengan lebih berkesan.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah itu membolehkan Felda memberi tumpuan penuh terhadap penstrukturan semula yang diyakini akan menguntungkan Felda serta pemegang taruh khususnya peneroka.
“Ia memberi suatu fleksibiliti bagi pengurusan Felda untuk membuat sebarang penstrukturan semula terhadap FGV. Dengan usaha yang lebih fokus dan lancar, ia akan mempercepatkan lagi proses pemulihan FGV,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mohd. Afzanizam berkata, isu penyahsenaraian itu juga berkait rapat dengan aspek tadbir urus memandangkan keputusan perniagaan yang bersifat komersial sering dikaitkan dengan keyakinan pelabur.
“Jika diimbas kembali, harga tawaran awam permulaan (IPO) FGV ketika disenaraikan pada Mei 2012 adalah sekitar RM4.55 sesaham, menjadikannya tawaran awam kedua terbesar di dunia selepas Facebook pada tahun tersebut.
“Namun, apabila harga sahamnya merudum hingga akhirnya dicapai keputusan untuk dinyahsenarai, ia sudah pasti menimbulkan persoalan mengenai tadbir urus dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” jelasnya.
Menurut beliau, episod seperti itu seharusnya menjadi pengajaran penting, malah kerajaan Madani yang menekankan prinsip tadbir urus cekap dan bersih diyakini dapat mengembalikan semula keyakinan pelabur pada masa depan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, penyahsenaraian FGV dijangka memberi kesan positif dan negatif.
“Dari aspek positif ia mampu memberi nafas baharu kepada penstrukturan semula FGV yang telah lama berdepan isu pengurusan, kewangan dan keuntungan. Pemilikan penuh oleh Felda akhirnya dijangka dapat memberi manfaat kepada peneroka.
“Namun dari aspek negatif, ia juga boleh memberi tekanan kepada sistem kewangan FGV kerana syarikat kini tidak lagi mendapat pembiayaan awam melalui perkongsian saham dan ekuiti. Pada masa yang sama, ia menimbulkan kebimbangan terhadap tahap ketelusan pengurusan dan kewangan sekiranya berlaku penyelewengan dalam jangka panjang.
“Dalam pada itu, sentimen pelabur terhadap syarikat yang tidak disenaraikan di Bursa juga biasanya tidak begitu memberangsangkan kerana penyenaraian memberi keyakinan melalui laporan audit awam tahunan, tahap ketelusan lebih tinggi serta kawal selia yang lebih teratur,” ujarnya.
FGV Holdings Bhd. bakal dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada Khamis ini, sekali gus menandakan kejayaan usaha berterusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengambil alih sepenuhnya syarikat perladangan gergasi itu secara persendirian.
Langkah itu hadir selepas 13 tahun FGV muncul sebagai tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di Asia dan ketiga terbesar di dunia pada 2012.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV memaklumkan keseluruhan modal saham terbitannya akan dikeluarkan daripada senarai rasmi bursa berkuat kuasa 9 pagi, 28 Ogos ini.
Keputusan itu dibuat selepas Felda berjaya meningkatkan pegangan sahamnya kepada 94.97 peratus pada penutupan tawaran pengambilalihan tanpa syarat pada 15 Ogos lalu, yang membawa kepada penggantungan dagangan kaunter berkenaan pada 22 Ogos.-UTUSAN