NEGARA ini sedang bergerak ke arah menjadi sebuah negara yang menua iaitu satu realiti demografi yang membawa kesan besar kepada struktur ekonomi, sistem sosial dan dasar negara.
Jabatan Perangkaan Malaysia dalam laporannya pada tahun 2022 menjangkakan Malaysia akan menjadi negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk negara ini merangkumi warganegara yang berusia lebih 60 tahun dalam pola 15.3 peratus daripada jumlah penduduk negara.
Laporan itu juga menunjukkan peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 7.0 peratus kepada 7.3 peratus bagi tempoh yang sama dan berdasarkan definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia telah menjadi negara menua.
Penuaan penduduk berpotensi memberi kesan mendalam terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), struktur pasaran buruh, sistem persaraan serta perbelanjaan kesihatan negara.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, negara menua boleh menjejaskan pertumbuhan KDNK apabila tenaga kerja berkurangan dan produktiviti menurun.
Namun begitu, beliau berkata, impaknya lebih bersifat pertumbuhan positif yang lebih rendah dari sebelum ini, tetapi tidaklah sampai kepada penurunan KDNK.
“Perubahan demografi ini akan mempengaruhi pasaran buruh dari segi industri akan beralih kepada pendigitalan dan automasi yang akan memerlukan lebih ramai pekerja berkemahiran sederhana dan tinggi.
“Tenaga kerja juga mungkin akan terdiri daripada pekerja yang berumur lebih dari 60 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, sektor tertentu memang akan terkesan termasuk pembuatan, pertanian dan pembinaan, namun ia bergantung kepada polisi yang masih membenarkan kemasukan pekerja asing atau penggunaan teknologi dalam sektor yang terlibat.
Tambahnya, antara usaha yang boleh dilakukan bagi mengekalkan aliran tenaga kerja adalah dengan memperkasakan sistem pendidikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya kurangnya berlaku keciciran pelajar.
“Selain itu, kita juga perlu menggalakkan industri untuk menuju ke arah pendigitalan dan automasi dalam syarikat mereka,” ujarnya.
Mengulas mengenai sama ada dana Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) mencukupi untuk persaraan warga yang kian menua ini, beliau berkata, sistem KWSP mungkin tidak mampu membantu majoriti pencarum untuk menikmati persaraan dengan selesa.
“Apa yang perlu dilakukan ialah melihat kemungkinan memadankan sistem KWSP itu dengan sistem pencen supaya pencarum yang tidak mempunyai simpanan persaraan yang cukup akan dapat dibantu dengan bantuan wang pencen.
“Kerajaan akan menanggung kos yang lebih tinggi untuk penjagaan kesihatan dan kebajikan untuk tahun mendatang.
“Oleh itu, perlu ada kerjasama dengan pelbagai pihak seperti pihak wakaf, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan industri supaya kebajikan warga emas ini terjaga,” jelasnya.
Sementara itu, Pakar ekonomi dari Sunway University, Prof. Dr. Yeah Kim Leng berkata, penuaan penduduk boleh menjadi ancaman kepada pertumbuhan ekonomi sekiranya golongan warga emas tidak mempunyai jaminan pendapatan yang mencukupi untuk mengekalkan taraf hidup yang baik tanpa terjerumus ke dalam kemiskinan.
Katanya, ini penting dalam jangka panjang bagi mengelakkan krisis kemiskinan warga emas.
“Tanpa pendapatan yang mencukupi, ramai akan bergantung sepenuhnya kepada sokongan kerajaan, yang memerlukan peruntukan awam lebih besar.
“Apabila jangka hayat semakin panjang, aspek penjagaan kesihatan menjadi lebih kritikal. Kosnya tinggi dan jika tiada sumber kewangan mencukupi, ia akan membebankan sistem kesihatan awam negara,” katanya.
Beliau berpendapat Malaysia berada pada tahap persediaan yang agak baik kerana kerajaan telah mengiktiraf isu ini termasuk perkara berkaitan insurans.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga telah diberi tanggungjawab untuk menangani krisis warga emas. Langkah seperti memastikan simpanan yang mencukupi dan memperluas kemudahan kesihatan perlu diambil.
“Bagi memastikan penuaan yang sihat, kita boleh mempertimbangkan penggajian semula warga emas supaya mereka mempunyai pendapatan dan kekal aktif.
“Pembangunan sektor penjagaan warga emas di bawah ‘ekonomi penjagaan’ juga penting. Negara-negara seperti Jepun, China dan negara Barat telah menggunakan teknologi, termasuk robot humanoid dan inovasi kesihatan lain, untuk menyokong populasi warga emas,” ujarnya.-UTUSAN