PETALING JAYA: Pengumuman Amerika Syarikat (AS) untuk menurunkan kadar tarif timbal balas ke atas eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus disifatkan sebagai bukti bahawa AS kekal terbuka untuk berunding dan mencapai persetujuan secara diplomatik.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah itu mencerminkan kematangan hubungan dua hala Malaysia-AS dan dijangka mampu mengurangkan kesan negatif terhadap prestasi ekonomi negara, terutamanya dalam sektor eksport dan pelaburan.
“Pengumuman ini menunjukkan bahawa AS bersedia berunding, dan hasil daripada rundingan tersebut, tarif yang sebelum ini dinaikkan kepada 25 peratus kini diturunkan kepada 19 peratus.
“Oleh itu, kesan negatif terhadap ekonomi Malaysia dijangka sedikit reda,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sejajar dengan perkembangan ini, Bank Negara Malaysia (BNM) dilaporkan telah menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi tahun 2025 kepada 4.0 peratus hingga 4.8 peratus, berbanding unjuran sebelumnya iaitu antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.
“Walaupun semakan unjuran dibuat, kami menyifatkan ia masih berada dalam julat yang sihat dan mencerminkan ketahanan asas ekonomi negara.
“Tambahan pula, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut menyasarkan kadar pertumbuhan ekonomi antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2030, satu sasaran yang realistik memandangkan cabaran ekonomi global semasa,” katanya.
Mohd. Afzanizam turut menekankan dalam konteks ketidaktentuan global ketika ini, memelihara hubungan dua hala dengan AS adalah amat penting, namun Malaysia juga perlu terus meneroka peluang kerjasama baharu dengan negara-negara Eropah, BRICS serta memperkukuh integrasi ekonomi serantau dengan negara-negara ASEAN.
“Di samping mengekalkan hubungan antarabangsa yang strategik, Malaysia juga perlu memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti, pembinaan kapasiti dan daya tahan ekonomi jangka panjang. Ini penting untuk menjamin kemandirian ekonomi negara dalam jangka masa yang lebih mencabar,” katanya.
Sementara itu, Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, kadar 19 peratus ini sejajar dengan kadar yang dikenakan ke atas negara jiran seperti Indonesia.
“Ini memberikan peluang kepada Malaysia untuk bersaing dengan lebih adil di peringkat ASEAN dan antarabangsa,” katanya.
Beliau menambah, pengurangan tarif ini dijangka memberi kesan langsung kepada peningkatan eksport Malaysia ke pasaran AS, pasaran eksport terbesar negara dan seterusnya mendorong pertumbuhan ekonomi.
“Antara sektor yang bakal mendapat manfaat termasuk elektronik, perkilangan, pertanian bernilai tinggi serta komponen automotif dan semikonduktor.
“Apabila kadar tarif lebih rendah, barang-barang buatan Malaysia akan lebih kompetitif. Ini membolehkan produk kita menembusi pasaran AS dengan lebih meluas dan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang diunjur berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.3 peratus, selagi kadar ini kekal dan tidak dinaikkan semula,” katanya.
Mustafa turut memuji strategi rundingan yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia, yang berjaya mencapai persetujuan ini tanpa perlu berkompromi terhadap dasar-dasar utama negara.
“Rundingan ini amat baik. Tanpa rundingan, kadar 25 peratus itu mungkin akan kekal dan ia bukan perkara mudah untuk meyakinkan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump agar menurunkan tarif, lebih-lebih lagi dalam suasana global yang tidak menentu,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan rundingan ini juga penting kerana Malaysia tidak tunduk kepada tekanan untuk menggugurkan atau melemahkan dasar-dasar strategik negara seperti standard Halal, ekuiti Bumiputera, dan kawalan terhadap syarikat strategik nasional.
“Ini membuktikan bahawa kita mampu mempertahankan kepentingan domestik sambil kekal sebagai rakan perdagangan yang disegani di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Keputusan AS ini diumumkan selepas rundingan dua hala Malaysia-AS dimuktamadkan pada 31 Julai 2025 dan kadar tarif baharu mula berkuat kuasa hari ini, 1 Ogos 2025. -UTUSAN









