PETALING JAYA: Pelabur asing meneruskan trend jualan bersih mereka untuk minggu ketujuh berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM314.4 juta, MBSB Investment Bank Bhd.
Bank pelaburan itu berkata, pelabur asing kekal sebagai penjual bersih sepanjang minggu, kecuali pada hari Jumaat.
“Aliran keluar harian berada dalam julat antara RM54.6 juta hingga RM209.4 juta, dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada hari Rabu, diikuti oleh hari Isnin (RM152.9 juta) dan hari Selasa (RM74.8 juta).
“Hari Khamis mencatatkan aliran keluar terendah sebanyak RM54.6 juta, manakala hari Jumaat mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM177.2 juta,” katanya dalam satu nota aliran tunai.
Sementara itu, tiga sektor tertinggi yang mencatatkan aliran masuk bersih pelabur asing minggu lepas ialah produk dan perkhidmatan perindustrian (RM136.7 juta), pembinaan (RM133.0 juta) dan perladangan (RM56.8 juta).
“Tiga sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi pelabur asing ialah telekomunikasi dan media (-RM154.2 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM145.2 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM119.8 juta),” katanya.
Selain itu, institusi tempatan meneruskan aliran belian bersih mereka untuk minggu keempat berturut-turut, mencatatkan pembelian sebanyak RM391.8 juta.
Sementara itu, peruncit tempatan meneruskan aliran jualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM77.3 juta.
“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatatkan peningkatan secara menyeluruh minggu lepas.
“Pelabur asing dan institusi tempatan mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 10.0 peratus dan 14.5 peratus, manakala pelabur runcit mencatatkan kenaikan lebih sederhana sebanyak 8.6 peratus,” katanya.-UTUSAN