OVL sedia tarikan baharu SENJA, KMI perkukuh pelancongan Langkawi

OVL sedia tarikan baharu SENJA, KMI perkukuh pelancongan Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ombak Villa Langkawi (OVL)  memperkukuh penawaran makanan, minuman dan riadah dengan pembukaan dua tarikan baharu iaitu Piknik di Senja by Ombak Villa Langkawi (SENJA) serta Sky Lounge | Rooftop Bistro di Kuala Melaka Inn (KMI), Langkawi.

Timbalan Ketua Pegawai Operasi M K Land Berhad (M K Land), Nazri Tumin berkata, inisiatif itu mencerminkan dedikasi OVL untuk memperkayakan pengalaman tetamu sekali gus meningkatkan daya tarikan pelancongan Langkawi.

Katanya, lebih daripada itu, ia adalah tentang membuka perspektif baharu dalam menikmati keindahan dan pesona unik pulau ini.

“Melalui Piknik dan Sky Lounge Rooftop Bistro, kami terus bekerjasama dengan peniaga tempatan, memperkaya pengalaman pelancong serta mengukuhkan kedudukan Langkawi sebagai destinasi lestari dan kaya budaya.

“Visi jangka panjang kami adalah menjadikan OVL bukan hanya sebuah resort, tetapi sebagai pemangkin utama dalam merevolusikan landskap pelancongan Langkawi.

“Industri pelancongan mesti bergerak seiring perubahan masa dan usaha kami di M K Land selari dengan visi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk memacu pertumbuhan yang memberi manfaat kepada komuniti, negeri dan negara,” katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua pembukaan itu membuktikan komitmen berterusan OVL dalam mempertingkat pengalaman tetamu di samping membuka peluang baharu kepada komuniti tempatan dan pelancong menikmati keindahan Langkawi dari perspektif yang segar dan berbeza.

Sebagai sebahagian daripada portfolio hospitaliti MK Land, OVL terus menambah nilai dengan konsep makanan dan minuman (F&B) unik yang melengkapi restoran sedia ada, Bayu Restaurant dan Amai Bistro.

Piknik ditawarkan kepada mereka yang mengidamkan detik tenang sambil menghirup kopi artisan berlatarbelakangkan panorama matahari terbenam Laut Andaman dengan keindahan Gunung Machinchang.

Selain itu, kerjasama antara SENJA dan kafe tempatan pilihan ramai, Halaman.1295, turut mencerminkan komitmen OVL memperkukuh semangat komuniti Langkawi.

Inisiatif itu bukan sekadar menggabungkan budaya kopi artisan dengan pengalaman bersantai di tepi laut, malah selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam menyokong pertumbuhan ekonomi inklusif, memperkukuh jaringan kerjasama komuniti serta memastikan manfaatnya dapat dirasai semua lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, terletak di tingkat enam KMI, Sky Lounge Rooftop Bistro pula menyajikan pemandangan panoramik Padang Mat Sirat, Laut Andaman serta kehijauan alam sekitarnya.

Di ruang bistro santai itu, pengunjung boleh menikmati hidangan istimewa hasil sentuhan cef OVL bersama pilihan makanan dan minuman pada harga berpatutan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN