OCBC Al-Amin meterai perjanjian PG-i bernilai RM100 juta

OCBC Al-Amin meterai perjanjian PG-i bernilai RM100 juta

OCBC Al-Amin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: OCBC Al-Amin Bank Berhad (OCBC Al-Amin) menandatangani perjanjian Jaminan Portfolio Islamik-i (PG-i) bernilai RM100 juta dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) bagi menyokong pertumbuhan perusahaan yang diketuai oleh bumiputera dan wanita.

Sebelum perjanjian ini, OCBC Al-Amin sudah pun menyalurkan sejumlah RM268 juta menerusi skim PG-i dengan kerjasama CGC sejak 2017.

Peruntukan terbaharu PG-i disediakan tanpa keperluan untuk menyediakan cagaran sehingga 50 peratus daripada jumlah pembiayaan yang diluluskan.

Pembiayaan maksimum adalah RM600,000 untuk tempoh sehingga tujuh tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif, OCBC Al-Amin berkata, Syed Abdull Aziz Syed Kechik berkata, pihaknya berbesar hati untuk sekali lagi bekerjasama dengan CGC untuk melaksanakan skim Jaminan Portfolio Islam.

“Lebih penting lagi, kali ini kami akan menyalurkan pembiayaan berjumlah RM100 juta untuk menggalakkan pertumbuhan perusahaan yang diterajui oleh golongan bumiputera dan wanita.

“Kami komited untuk mendorong pertumbuhan ekonomi terangkum dengan memperkasakan usahawan bumiputera dan wanita.

“Menerusi penyelesaian kewangan bersasar dan pakatanstrategik, kami berharap untuk meningkatkan capaian kepada pembiayaan dan peluang pasaran bagi PKS yang dipimpin oleh golongan sasaran. Kami berusaha untuk membantu menjana pertumbuhan perniagaan mampan, mempelopori inovasi dan memanfaatkan potensi penuh komuniti perniagaan terpelbagai Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, walaupun skim PG-i terbaharu bertujuan membawa manfaat kepada perusahaan yang dipimpin oleh bumiputera dan wanita, kemudahan ini juga terbuka kepada semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, CGC mengalu-alukan kerjasama dengan OCBC Al-Amin untuk membina persekitaran keusahawanan yang lebih terangkum dan berdaya tahan.

“Peruntukan baharu berjumlah RM100 juta mencerminkan usaha strategik untuk menyalurkan pembiayaan yang sedia menghasilkan impak ekonomi yang bermakna.

“Dengan memberi tumpuan kepada PMKS pimpinan bumiputera dan wanita, kami bukan sahaja menangani jurang pembiayaan tetapi juga memperkasakan segmen yang penting kepada pertumbuhan masa depan rakyat Malaysia,” katanya.

Syed Abdull Aziz menambah, PG-i boleh dimohon oleh semua PMKS menerusi Dana Usahawan-i OCBC Al-Amin.

“Pendekatan kami memberikan kemudahan tambahan kepada mereka yang memerlukan pembiayaan kerana mempercepatkan proses mendapatkannya, membolehkan mereka memberi tumpuan untuk melaksanakan rancangan pertumbuhan perniagaan masing-masing,” katanya.

PKS yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang PG-i boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Perniagaan OCBC Al-Amin di+603 83149090 atau melayari https://www.ocbc.com.my/OCBCAL_Amin/business-banking-i/financing/working-capital/entrepreneur-fund-i

Sebagai sebahagian daripada promosi berterusan sempena termeterainya perjanjian PG-i, PKS yang berdaftar layak untuk menerima Takaful Tempoh Berkurang Perbankan Perniagaan (BBRTT) dengan rebat tunai sehingga dua bulan bagi caruman BBRTT mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN