PETALING JAYA: AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) mengumumkan pelantikan Mohd. Asri Omar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu, berkuat kuasa 11 Ogos 2025.
Berbekalkan pengalaman melebihi 27 tahun dalam industri insurans dan takaful, Mohd. Asri membawa kepakaran meluas dalam pengedaran agensi, strategi perniagaan, hal ehwal undang-undang serta tadbir urus syariah.
AIA PUBLIC Takaful berkata, pelantikan ini menandakan era kepimpinan baharu yang fokus terhadap pengukuhan komitmen AIA PUBLIC Takaful dalam menyampaikan penyelesaian syariah menyeluruh syarikat dan pendekatan holistik yang melangkaui penawaran produk.
Katanya, ini merangkumi perlindungan kewangan yang mampan, berasaskan tujuan dan disampaikan secara profesional, selaras dengan prinsip Maqasid Syariah.
Pelantikan Mohd. Asri berlaku pada ketika AIA PUBLIC Takaful mencatatkan momentum yang kukuh, susulan kejayaan pengendali takaful itu mengisytiharkan agihan lebihan tertinggi sejak penubuhannya, berjumlah RM84 juta.
Pencapaian ini mencerminkan kekuatan kewangan syarikat, kecemerlangan tenaga agensinya serta komitmen berterusan dalam menyampaikan nilai terbaik kepada para pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif AIA Malaysia, Ben Ng berkata, pengalaman luas Mohd. Asri dalam industri serta kelayakan kukuh dalam bidang syariah menjadikan beliau individu yang tepat untuk menerajui AIA PUBLIC Takaful ke fasa pertumbuhan seterusnya.
“Saya yakin di bawah kepimpinan beliau, AIA PUBLIC Takaful akan menjadi pemacu pertumbuhan penting bagi AIA Malaysia dan membantu merealisasikan aspirasi strategik kami.
“Dengan kehadiran Asri, kami berharap dapat mempercepatkan pengembangan tenaga agensi Takaful profesional kami, sekali gus membolehkan kami melindungi lebih ramai rakyat Malaysia serta memperkukuhkan lagi matlamat kami untuk membantu pelanggan menjalani ‘Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna’,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum pelantikan ini, Mohd. Asri berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong MSIG Takaful Bhd sejak 2018.
Beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan kepimpinan kanan di AIA PUBLIC Takaful termasuk Ketua Tadbir Urus dan Strategi.
Mohd Asri berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Putra Malaysia dan memiliki dwi ijazah dalam bidang Syariah (LLBS) dan Undang-Undang (LLB) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. – UTUSAN