PETALING JAYA: Malayan Banking Bhd. (Maybank) mencatatkan keuntungan bersih meningkat empat peratus tahun ke tahun kepada RM5.22 bilion, bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 walaupun pasaran global mengalami kerugian.
Peningkatan itu disokong pertumbuhan pendapatan bukan faedah (NoII) yang meningkat tujuh peratus kepada RM5.51 bilion, hasil prestasi dagangan dan pelaburan yang lebih baik, selain peruntukan rosot nilai bersih lebih rendah.
Sementara itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan turut kukuh sebanyak RM7.11 bilion bagi tempoh itu, meningkat 3.2 peratus berbanding RM6.89 bilion separuh pertama tahun sebelum.
Pendapatan operasi bersih kumpulan pula naik 3.2 peratus kepada RM15.40 bilion, manakala keuntungan operasi praperuntukan (PPOP) bertambah kepada RM7.87 bilion, mencerminkan kekuatan teras perniagaan bank itu.
Bagi suku kedua sahaja, Maybank mencatat keuntungan bersih RM2.63 bilion, meningkat 3.9 peratus tahun ke tahun, manakala PBT bertambah dua peratus.
Lembaga Pengarah turut mengumumkan dividen interim tunai penuh sebanyak 30 sen sesaham, bersamaan pembayaran RM3.62 bilion dengan kadar pembayaran 69.5 peratus, sekali gus menegaskan komitmen kumpulan untuk memberikan pulangan berterusan kepada pemegang saham.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, prestasi kukuh itu mencerminkan daya tahan model perniagaan Maybank dalam persekitaran mencabar.
“Kumpulan kekal fokus memanfaatkan strategi M25+ bagi memacu pertumbuhan mampan, memperluas penyelesaian digital serta menyokong sektor utama seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pelanggan bernilai tinggi di seluruh ASEAN,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, pinjaman kumpulan berkembang sederhana dengan kenaikan 6.8 peratus di Malaysia dan 4.3 peratus di Singapura, manakala deposit meningkat 6.1 peratus dipacu pertumbuhan Akaun Simpanan dan Semasa (CASA) yang mencecah RM283.3 bilion.
“Nisbah pinjaman terjejas kasar kekal sihat pada 1.30 peratus dengan perlindungan kerugian pinjaman 117.9 peratus, menandakan pengurusan risiko aset yang mantap.
“Dari segi modal, Maybank mengekalkan asas kukuh dengan nisbah modal CET1 pada 14.68 peratus dan jumlah nisbah modal 17.93 peratus, manakala nisbah perlindungan mudah tunai berada pada 138.1 peratus, jauh melebihi paras kawal selia,” katanya.
Kumpulan juga memperkukuh agenda kemampanan dengan pembiayaan mampan berjumlah RM139.62 bilion, melepasi sasaran kumulatif 2025 sebanyak RM80 bilion, yang memberi manfaat kepada lebih 2.5 juta individu di ASEAN.
Bank itu yakin kedudukan mantap ini akan terus memperkukuh peranannya sebagai institusi kewangan terkemuka di rantau ini, seiring dengan aspirasi menjadi bank berpacukan tujuan terunggul di ASEAN.-UTUSAN