Matrix Concepts catat lonjakan jualan hartanah 18.8 peratus 

Matrix Concepts catat lonjakan jualan hartanah 18.8 peratus 

MOHAMAD Haslah Mohamad Amin (kanan) bersama Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) mencatatkan peningkatan jualan hartanah baharu sebanyak 18.8 peratus kepada RM381.5 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM321.3 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu. 

Prestasi kukuh ini didorong oleh sumbangan berterusan daripada pembangunan utama di Sendayan serta permulaan kepada projek pertumbuhan baharu, MVV City.

Pembangunan Sendayan yang menjadi asas kukuh pertumbuhan syarikat, terus menunjukkan daya tarikan tinggi dengan jualan hartanah kediaman dan komersial berjumlah RM174.4 juta atau 45.7 peratus daripada jumlah jualan baharu. 

Projek MVV City, sebagai pemangkin pertumbuhan masa depan syarikat, menyumbang RM142.4 juta menerusi jualan tanah industri, menandakan fasa pertama strategi jangka panjang kumpulan. 

Baki RM64.7 juta diperoleh daripada projek utama lain seperti Levia Residence di Cheras serta pembangunan bandar baharu Bandar Seri Impian di Johor.

Matrix Concepts turut mencatatkan peningkatan 3.7 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM62.9 juta, berbanding RM60.7 juta pada suku yang sama tahun lalu. 

Peningkatan ini disumbang oleh pendapatan yang stabil, penjimatan dalam perbelanjaan jualan dan pemasaran serta kadar cukai efektif yang lebih rendah berikutan pengiktirafan aset cukai tertunda.

Pendapatan kumpulan meningkat 1.6 peratus kepada RM284.3 juta, disokong oleh pengiktirafan pendapatan lebih tinggi daripada segmen pembangunan hartanah. 

Projek Levia Residence dan Bandar Seri Impian sahaja menyumbang RM41.9 juta, satu lonjakan 253.8 peratus berbanding RM11.8 juta sebelum ini, mengimbangi penurunan pendapatan 9.5 peratus daripada Pembangunan Sendayan kepada RM226.4 juta.

Secara keseluruhan, segmen pembangunan hartanah merangkumi 94.4 peratus daripada pendapatan kumpulan. Projek kediaman menyumbang RM248.0 juta, meningkat sedikit daripada RM247.3 juta, manakala projek komersial melonjak 79.5 peratus kepada RM20.3 juta.

Segmen lain seperti pendidikan, hospitaliti dan penjagaan kesihatan menyumbang RM16.0 juta atau 5.6 peratus daripada pendapatan, menurun sedikit berbanding RM16.2 juta sebelumnya. 

Pengerusi Eksekutif Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, prestasi jualan cemerlang suku ini mencerminkan kekuatan visi kami dan pelaksanaan yang berdisiplin. 

“Kami kini berada di ambang fasa pertumbuhan baharu yang dipacu oleh pembangunan MVV City serta peluasan portfolio hartanah berkualiti tinggi yang mampu milik.

“Projek MVV City dijangka mula menjana pendapatan bagi tahun kewangan 2026, manakala pengambilalihan Horizon L&L akan memperluas kehadiran Matrix di Lembah Klang,” katanya. 

Matrix Concepts turut melaporkan jualan belum dibil RM1.49 bilion setakat 31 Mac 2025, memberikan kepastian pendapatan selama 15 hingga 18 bulan akan datang.

Sebagai penghargaan kepada pemegang saham, kumpulan mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 1.75 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 yang ditetapkan pada 19 September 2025.

Pembayaran akan dibuat pada 9 Oktober 2025 melibatkan jumlah keseluruhan RM32.8 juta, iaitu 51.1 peratus daripada keuntungan bersih suku tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN