PETALING JAYA: Malaysia mencatat sejarah dengan pelancaran Ryt Bank, bank pertama di dunia yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), dibangunkan oleh YTL Group dengan kerjasama Sea Limited.
Bank digital itu menandakan langkah berani negara ke arah masa depan digital menerusi gabungan inovasi AI bertaraf dunia dengan nilai, bahasa dan budaya Malaysia.
Pengarah Urusan YTL Power International, Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata, Ryt Bank membuktikan Malaysia berupaya menghasilkan inovasi bertaraf antarabangsa yang dekat dengan rakyat.
“Dengan menggabungkan teknologi AI tempatan bersama nilai serta kepelbagaian rakyat, kami telah mencipta sebuah bank yang boleh dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia.
“Ia sebuah bank yang bertutur dalam bahasa kita, memahami budaya kita dan menetapkan penanda aras baharu bagaimana perbankan sepatutnya dirasai,” katanya dalam kenyataan.
Ryt Bank juga dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia dengan perlindungan deposit sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit di bawah Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).
Ryt Bank menawarkan perkhidmatan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, manakala Bahasa Mandarin akan ditambah menjelang September ini bagi memastikan akses inklusif kepada semua lapisan masyarakat.
Bank digital itu turut memiliki Ryt AI, pembantu maya berasaskan AI yang dibangunkan melalui ILMU, model bahasa besar pertama tempatan.
Ia mampu memahami perbualan semula jadi sama ada dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris mahupun Manglish, sekali gus membolehkan pengguna melaksanakan pelbagai urusan perbankan secara mudah dan selamat.
Selain itu, Ryt Bank hadir dengan ciri perbankan lebih pintar dan peribadi melalui Ryt AI yang mampu menyesuaikan diri dengan tabiat, pilihan dan bahasa pengguna bagi memastikan setiap interaksi menjadi lebih mudah, mesra serta lancar.
Pengguna boleh membuat pembayaran dengan cara paling ringkas termasuk berbual secara semula jadi melalui teks untuk menghantar wang atau melakukan pindahan DuitNow serta menjelaskan bil dengan segera.
Sementara itu, hanya dengan mengambil gambar dan memuat naik bil atau resit, pembayaran boleh dibuat terus kerana ia serasi dengan bil utiliti serta lebih 20,000 pengebil melalui JomPAY.
Ryt AI juga bertindak sebagai penasihat kewangan yang mudah difahami apabila ia menjelaskan panduan simpanan dan asas kewangan dengan gaya bahasa rakyat Malaysia.
Dari aspek keselamatan, setiap transaksi disahkan dan disulitkan, selain pengguna turut berpeluang menerima ganjaran pelancaran khas dengan mencuba Ryt AI dan mendapatkan sehingga RM5.
Bagi membantu pengguna mengembangkan simpanan, Ryt Bank menawarkan akaun yang menyokong keperluan harian dan perancangan masa depan dengan kadar faedah sehingga 4 peratus setahun yang dibayar setiap hari ke dalam akaun.
Menariknya, tiada tempoh penguncian dikenakan kerana pertumbuhan simpanan berlaku secara harian.
Dalam pada itu, melalui kemudahan Ryt PayLater, pengguna boleh mendapatkan kredit segera sehingga RM1,499 tanpa perlu menyediakan dokumen dan tanpa dikenakan caj lewat.
Ia juga tiada faedah dikenakan sekiranya bayaran dibuat dalam tempoh sebulan, selain pengguna menikmati pulangan tunai sebanyak 1.2 peratus untuk bayaran menggunakan DuitNow QR.
Tawaran pulangan tunai berganda juga diberikan apabila berbelanja dengan rakan ekosistem seperti kedai Yes, tertakluk kepada semakan kelayakan.
Bagi yang gemar berbelanja, kad serba guna Ryt menawarkan fleksibiliti menukar antara fungsi debit dan kredit secara serta-merta dalam aplikasi dengan penerimaan global Visa.
Sehubungan itu, kad edisi terhad dengan reka bentuk khas turut diberikan secara percuma kepada pelanggan baharu dan pelanggan menikmati pulangan tunai tanpa had sebanyak 1.2 peratus transaksi luar negara tanpa dikenakan caj transaksi asing atau caj pengeluaran ATM di seluruh negara.
Selain itu, pelbagai ganjaran eksklusif rakan niaga turut menanti, termasuk baucar Shopee bernilai RM8 dengan setiap bayaran menggunakan kad Ryt serta diskaun 20 peratus untuk menikmati hidangan di restoran YTL Hotels.- UTUSAN