Logistik pintar sokong pertumbuhan e-dagang

Logistik pintar sokong pertumbuhan e-dagang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Sektor logistik di Malaysia semakin rancak dipacu oleh pertumbuhan e-dagang, dengan permintaan yang semakin tinggi terhadap penghantaran pantas, tepat dan boleh dipercayai.

Ninja Van Malaysia, sebagai salah satu penyedia logistik terbesar di rantau ini, melihat transformasi industri bukan sekadar tentang penghantaran tetapi bagaimana teknologi, automasi dan penyelesaian menyeluruh seperti pemenuhan pesanan (fulfillment) mampu memperkukuh daya saing perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, SABRINA ZULKIFLI, Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia, LIN ZHENG, berkongsi pandangan mengenai hala tuju industri logistik, cabaran e-dagang serta bagaimana Ninja Van mendukung ekosistem perniagaan di negara ini.

UTUSAN: Apakah trend utama yang sedang membentuk masa depan logistik di Malaysia?

Lin Zheng: Kita sedang menyaksikan tiga trend besar yang akan mencorakkan masa depan logistik di rantau ini.

Pertama ialah automasi dan digitalisasi. 

Semakin banyak pemain logistik melabur dalam automasi gudang, sistem pengurusan pintar dan teknologi berasaskan data. 

Tujuannya adalah untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos operasi dan mempercepatkan proses penghantaran.

Kedua ialah pertumbuhan rentas sempadan. 

Kemunculan e-dagang telah melahirkan permintaan tinggi terhadap penghantaran antarabangsa terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mahu menembusi pasaran serantau.

Ketiga ialah pembangunan logistik rantaian sejuk (cold chain logistics). 

Permintaan terhadap penghantaran produk yang memerlukan suhu terkawal seperti makanan segar, farmaseutikal dan kosmetik semakin meningkat. 

Ini memerlukan pelaburan besar dalam infrastruktur dan teknologi khusus.

Bagaimana Ninja Van Malaysia melihat peranan teknologi seperti automasi dan kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan operasi logistik?

Automasi memainkan peranan penting dalam meningkatkan kebolehpercayaan penghantaran. 

Dengan mengoptimumkan laluan dan menempatkan hab inventori secara strategik, kami dapat meminimumkan masa transit serta memastikan penghantaran lebih pantas, termasuk ketika musim puncak atau perubahan pasaran yang tidak dijangka.

Selain itu, integrasi automasi dan analitik data telah meningkatkan pengalaman pelanggan secara ketara. 

Data masa nyata serta automasi membolehkan pelanggan menerima jangkaan masa penghantaran yang lebih tepat, mengurangkan kelewatan dan memastikan komunikasi yang lebih lancar sepanjang proses penghantaran.

Dari sudut logistik rentas sempadan, apakah cabaran dan peluang terbesar?

Cabaran terbesar ialah peraturan dan infrastruktur yang berbeza di setiap negara.

Isu seperti pelepasan kastam, dokumentasi, cukai dan masa penghantaran boleh menjadi halangan kepada PKS yang baru mahu berjinak-jinak dengan pasaran luar negara.

Namun, peluangnya amat besar.

 E-dagang rentas sempadan di Asia Tenggara berkembang pesat dan Malaysia mempunyai kedudukan strategik untuk menjadi hab serantau.

Di Ninja Van, kami membangunkan penyelesaian logistik menyeluruh (end-to-end) bagi membantu PKS menavigasi proses ini, termasuk sokongan dokumentasi, kepatuhan regulatori dan integrasi teknologi dengan platform e-dagang.

Logistik rantaian sejuk disebut sebagai bidang kritikal. Bagaimana Ninja Van melihat perkembangan ini?

Logistik rantaian sejuk adalah antara segmen paling mencabar tetapi berpotensi tinggi.

Permintaan pengguna terhadap produk segar seperti makanan laut, hasil pertanian premium, vaksin atau ubat-ubatan semakin meningkat. 

Namun, menghantar produk ini memerlukan kawalan suhu yang konsisten dari gudang hingga ke tangan pelanggan.

Kami menawarkan tiga tahap suhu menggunakan gabungan sistem aktif (seperti trak berpeti sejuk) dan pasif (plat ais beku yang tahan sehingga tiga hari). 

Ini menjadikan penghantaran lebih kos efektif, malah sesuai untuk kuantiti kecil tanpa syarat kuantiti minimum (MOQ).

Jadi usahawan makanan segar, farmaseutikal atau produk sejuk beku boleh memanfaatkan perkhidmatan ini.

Kami melihat logistik rantaian sejuk bukan sahaja sebagai peluang perniagaan, tetapi juga satu keperluan untuk menyokong ekosistem e-dagang dan kesihatan awam yang semakin berkembang.

Bagaimana dengan aspek ‘fulfillment’ yang semakin penting dalam e-dagang?

Fulfillment kini menjadi nadi utama e-dagang. 

Ia bukan sekadar penghantaran, tetapi keseluruhan proses dari pengurusan inventori, pembungkusan, penyimpanan hingga ke penghantaran terakhir kepada pelanggan.

Bagi peniaga kecil dan sederhana, membina sistem fulfillment sendiri memerlukan kos tinggi. 

Oleh itu, penyedia logistik seperti Ninja Van menawarkan penyelesaian menyeluruh daripada gudang bersepadu, sistem pengurusan stok dan penghantaran berjadual supaya peniaga boleh fokus kepada pengembangan perniagaan tanpa perlu bimbang soal operasi logistik.

Lebih penting, fulfillment yang cekap meningkatkan pengalaman pelanggan. 

Dalam dunia e-dagang, kepuasan pelanggan banyak bergantung kepada kelajuan dan ketepatan penghantaran.

Dari sudut pelanggan, apakah perubahan tingkah laku yang paling ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini?

Pelanggan hari ini mahukan kelajuan, ketelusan dan fleksibiliti.

Mereka tidak lagi mahu sekadar menunggu bungkusan sampai, sebaliknya mahu dapat menjejak perjalanan penghantaran secara masa nyata, memilih slot penghantaran yang sesuai dan mempunyai pilihan lokasi alternatif jika tidak berada di rumah.

Ini memerlukan pemain logistik untuk terus meningkatkan teknologi aplikasi, sistem pemberitahuan masa nyata dan pilihan penghantaran yang lebih mesra pengguna.

Bagaimana Ninja Van bersedia menghadapi masa depan industri logistik ini?

Kami percaya masa depan logistik akan ditentukan oleh tiga perkara iaitu teknologi, kerjasama dan pengalaman pelanggan.

Dari segi teknologi, kami akan terus melabur dalam automasi, data analitik dan integrasi digital.

Dari segi kerjasama, kami akan memperkukuh hubungan dengan kerajaan, pengawal selia, rakan kongsi e-dagang dan PKS, kerana industri logistik tidak boleh berkembang secara bersendirian.

Akhir sekali, kami akan sentiasa menumpukan kepada pengalaman pelanggan memastikan penghantaran lebih cepat, lebih lancar dan lebih boleh dipercayai.

Kami yakin dengan pendekatan ini, Ninja Van mampu memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan logistik Malaysia dan rantau Asia Tenggara.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN