PETALING JAYA: Lebih 200 usahawan tempatan dan pemain industri berhimpun bagi memperkukuh potensi eksport sempena Hari Eksport Selangor 2025.
Program itu berlangsung selama dua hari di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam.
Program edisi ketiga anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan itu diadakan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) serta sokongan rakan strategik Maybank, Affin Bank, Redly dan Exim Bank Malaysia.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, penganjuran itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam membina ekosistem eksport yang inklusif, mapan dan berdaya saing.
“Selangor kini berada pada landasan kukuh dengan peningkatan penyertaan syarikat dalam program Matrade,” katanya dalam kenyataan.
Bagi 2024, Selangor merekodkan nilai eksport sebanyak RM357.06 bilion, menjadikannya penyumbang ketiga terbesar kepada eksport negara (23.7 peratus) selepas Pulau Pinang dan Johor.
Dalam pada itu, bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, Selangor kekal di tempat ketiga dengan nilai eksport RM182.20 bilion.
Antara sektor utama yang menyumbang ialah jentera dan kelengkapan pengangkutan (41.4 peratus), barangan perkilangan (15.3 peratus) dan bahan kimia (12.5 peratus).
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) Matrade, Mansor Shah Wahid berkata, Matrade akan terus berperanan sebagai pemudah cara kepada syarikat pengeksport negeri tersebut melalui pemadanan perniagaan, promosi eksport dan pembangunan kapasiti.
“Mengikut Pangkalan Data Pengeksport Matrade sehingga 31 Julai 2025, sebanyak 13,314 syarikat tempatan telah berdaftar dengan Matrade, di mana sebanyak 6,058 atau 45.5 peratus dari jumlah tersebut adalah terdiri daripada syarikat-syarikat negeri Selangor.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 5,524 (92 peratus) adalah bertaraf Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana dan selebihnya adalah Syarikat Peringkat Pertengahan (Mid-Tier) dan syarikat gergasi,” ujarnya.
Pada majlis itu, empat syarikat diiktiraf sebagai pengeksport terbaik di bawah program Matrade dan PKNS, iaitu Bio Harvest Sdn. Bhd., Aducktive Food Sdn. Bhd., Bin Malek Global Sdn. Bhd. dan Kimyra International Sdn. Bhd. bagi kategori PMKS, manakala SME Aerospace Sdn. Bhd. dipilih bagi kategori syarikat pertengahan (SPP).
Selepas Selangor, siri terakhir Hari Eksport 2025 akan diteruskan di Negeri Sembilan pada 2 hingga 3 September ini bertempat di Hotel Royale Chulan, Seremban. – UTUSAN