PETALING JAYA: LBS Bina Group Berhad (LBS), pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM27.1 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 dengan hasil sebanyak RM309.8 juta.
Pencapaian itu didorong oleh beberapa projek kumpulan yang telah siap atau hampir siap pada tahun lalu, manakala pembangunan perbandaran pula dijangka terus memberikan sumbangan yang kukuh pada masa hadapan.
Bagi separuh pertama 2025, LBS telah mencatat hasil terkumpul sebanyak RM639 juta, di mana sebahagian besarnya disumbang oleh segmen pembangunan hartanah yang merangkumi 95.5 peratus daripada jumlah hasil.
Sehubungan itu, LBS merekodkan PATMI sebanyak RM55.3 juta pada tempoh itu.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Datuk Seri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, di dalam fasa peralihan, kumpulan bersedia untuk gelombang pelancaran seterusnya di bawah Strategi 8 x 8, seiring dengan pembangunan transformasi Perbandaran Kwasa Damansara.
“Inisiatif-inisiatif ini, turut disokong oleh bank tanah seluas 1529.71 hektar, menjadi pemacu utama perkembangan kumpulan dan bakal membentuk saluran pembangunan yang mampan bagi menyokong pertumbuhan kumpulan dalam jangka sederhana hingga panjang.
“Dengan jualan belum dibil berjumlah RM1.33 bilion yang akan diiktiraf secara berperingkat, serta momentum jualan yang kukuh di pasaran teras kami di Lembah Klang, LBS mempunyai keterlihatan pendapatan yang kukuh pada masa hadapan.
“Perbandaran KITA @ Cybersouth, LBS Alam Perdana, di samping projek Prestige Residence dan Idaman, terus menunjukkan prestasi yang baik, sekali gus mengukuhkan kedudukan daya saing kami serta keupayaan untuk menjana nilai jangka panjang kepada para pemegang saham,” katanya dalam kenyataan.
Bagi prospek akan datang, prestasi jualan LBS kekal kukuh dengan jumlah jualan hartanah dan tempahan masing-masing berjumlah RM690.20 juta dan RM401.11 juta setakat 19 Ogos 2025.
Lembah Klang terus menjadi pemacu utama pertumbuhan kumpulan, didorong oleh perbandaran utama LBS Alam Perdana yang mencatat pertumbuhan jualan tertinggi.
Dalam jangka sederhana hingga panjang, prestasi LBS dijangka menyerlah lagi melalui Perjanjian Hak Pembangunan yang telah dimeterai bersama Kwasa Land Sdn. Bhd. dan anak-anak syarikatnya bagi pembangunan tanah seluas 77.83 hektar di Kwasa Damansara.
Dalam pada itu, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan berjumlah RM8.30 bilion, pembangunan kediaman premium tersebut bakal dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 14 tahun, sekali gus memperkukuh kedudukan LBS sebagai peneraju pembangunan hartanah di Lembah Klang. – UTUSAN