Kewangan MAG stabil, beli pesawat berperingkat

Kewangan MAG stabil, beli pesawat berperingkat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah Malaysia Aviation Group (MAG) membeli pesawat baharu secara berperingkat dan mengikut keperluan operasi semasa adalah strategi berhemah dalam pengurusan kewangan korporat, kata penganalisis. 

Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, pendekatan ini mencerminkan sikap lebih berhati-hati MAG dalam memastikan pertumbuhan syarikat tidak mengorbankan kestabilan kewangan jangka panjang.

“MAG tidak membeli semua pesawat secara sekali gus, sebaliknya ia dilakukan secara berperingkat bergantung kepada tempahan dan keperluan semasa. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini strategi yang rasional dalam keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Mustafa menjelaskan Malaysia Airlines, anak syarikat utama di bawah MAG, kini telah mula mencatatkan keuntungan, membolehkan pembiayaan pesawat baharu dibuat menerusi hasil operasi sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada suntikan dana luar.

“Bayaran bagi pembelian pesawat akan dibuat daripada keuntungan MAG. Ini menandakan kemajuan positif dalam pengurusan korporat selepas bertahun-tahun mencatatkan kerugian,” ujarnya.

MAG mencatatkan keuntungan bersih selepas faedah dan cukai positif sebanyak RM54 juta pada 2024 dan ia juga menandakan keuntungan operasi positif tiga tahun berturut-turut sebanyak RM113 juta.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan bantuan daripada Khazanah Nasional, pemegang saham tunggal MAG, sekiranya keuntungan syarikat tidak mencukupi pada masa akan datang.

“Jika MAG kembali mencatatkan kerugian atau berdepan tekanan kewangan, Khazanah mungkin perlu tampil membantu. 

“Tetapi selagi MAG mampu membiayai sendiri, itu adalah situasi paling ideal,” jelasnya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, pembelian pesawat oleh Malaysia daripada syarikat Boeing, yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), merupakan sebahagian daripada perjanjian perdagangan yang telah berjaya mengurangkan kadar tarif pulangan daripada 25 peratus kepada 19 peratus.

Katanya, langkah ini disifatkan sebagai kejayaan dalam rundingan perdagangan, kerana ia mencapai matlamat mengurangkan beban tarif secara efektif serta meminimumkan kesan ekonomi akibat sekatan dagangan yang dikenakan.

“Namun begitu, kerajaan AS dilaporkan telah menolak sebahagian daripada kandungan perjanjian tersebut. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya di Malaysia tidak melibatkan sebarang pengorbanan terhadap pembangunan negara,” katanya. 

Selain itu, Mohd. Afzanizam berkata, perlindungan terhadap sektor automotif kekal utuh dan beberapa pengecualian yang sedia ada termasuk dalam sektor utama seperti semikonduktor dan farmaseutikal terus dikekalkan. 

“Ini membuktikan bahawa rundingan dilakukan secara objektif dan profesional, selari dengan kepentingan negara,” katanya. 

Beliau turut menjangkakan lebih banyak perjanjian seumpamanya akan dimeterai pada masa hadapan, mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua negara.

Baru-baru ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia komited untuk membeli 30 lagi pesawat Boeing dari AS bernilai AS$9.5 bilion, sebagai satu daripada syarat untuk mengurangkan tarif AS ke atas import dari Malaysia.

AS sebelum ini mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import dari Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos, namun kadar itu dikurangkan kepada 19 peratus selepas beberapa pusingan rundingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini