Kerjasama serantau penting tangani risiko kewangan

Kerjasama serantau penting tangani risiko kewangan

AMIR Hamzah Azizan merasmikan Simposium Resolusi Kebangsaan (NRS) di Nexus Ballroom, Connexion Bangsar South. UTUSAN/M.FIRDAUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peningkatan integrasi kewangan serantau menuntut kerjasama lebih erat dalam kalangan negara ASEAN, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, ia memandangkan institusi kewangan kini beroperasi merentasi sempadan dan sistem perundangan dengan risiko serta kesan limpahan yang bergerak lebih pantas berbanding sebelumnya

“Apabila sesebuah institusi berdepan masalah, kesannya boleh merebak merentasi sempadan. Dalam ASEAN, peningkatan integrasi serantau menekankan kepentingan kerjasama yang lebih erat.

“Satu kertas kajian terbaru oleh Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) menyorot lonjakan dalam pengantaraan kewangan rentas sempadan intra-serantau, yang meningkatkan risiko sistemik dan jangkitan kewangan.

“Analisis itu turut menyatakan bahawa secara keseluruhan, tuntutan dan liabiliti ASEAN+3 meningkat dengan ketara, dengan pertumbuhan besar dilihat dalam rantau ini sendiri. 

“Hal ini jelas menunjukkan bahawa keupayaan serantau untuk bertindak balas terhadap krisis perlu terus diperkukuh melalui kerjasama, penyelarasan dan komunikasi yang lebih mantap,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Pelancaran Simposium Resolusi Kebangsaan (NRS) di sini, semalam.

Amir Hamzah berkata, kerajaan menghargai peranan PIDM dan kekal komited untuk menyokong misinya. 

“Kita mahu memastikan institusi kewangan kekal berdaya tahan serta bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, sekali gus memperkukuh asas kestabilan yang dibina sejak dahulu,” ujarnya. 

Dalam pada itu, menurut beliau, menjelang 2030, Malaysia berhasrat bukan sahaja mencapai status negara berpendapatan tinggi, tetapi turut tersenarai dalam kelompok 30 ekonomi teratas dunia dengan kemajuan berteraskan kemakmuran, keterangkuman dan kemampanan.

Katanya, aspirasi itu disokong dua instrumen nasional iaitu Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Kerangka Ekonomi Madani.

“RMK-13 (2026–2030) berfungsi sebagai pelan induk strategik pembangunan ekonomi dan sosial negara. Ia memperkenalkan pembaharuan bersasar untuk meningkatkan produktiviti, mempercepat pendigitalan serta memacu inovasi, khususnya dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, teknologi hijau dan pembuatan termaju.

“Rancangan ini turut menekankan pembangunan bakat, pemodenan infrastruktur serta penambahbaikan tadbir urus bagi meningkatkan kecanggihan ekonomi Malaysia dan daya saing global,” katanya.

Melengkapinya, jelas beliau, Kerangka Ekonomi Madani menyediakan visi menyeluruh berteraskan maruah, kelestarian dan kemakmuran bersama.

“Kedua-dua instrumen ini mencerminkan komitmen menyeluruh negara untuk membina ekonomi kukuh, inklusif dan berdaya tahan.

“Teras strategi ini berlandaskan tiga tonggak iaitu menaikkan siling dengan membuka potensi pertumbuhan dan inovasi, menaikkan lantai dengan meningkatkan taraf hidup rakyat serta memastikan tiada yang ketinggalan melalui perlindungan sosial dan tadbir urus yang baik.

“Sektor kewangan memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi ini, daripada menyokong perusahaan kecil hingga mendorong inovasi digital dan memajukan kewangan Islam,” katanya.-UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN