Kerajaan teliti mekanisme bayaran KWSP seakan pencen bulanan

Kerajaan teliti mekanisme bayaran KWSP seakan pencen bulanan

AMIR Hamzah Azizan (dua dari kanan) hadir pada majlis perasmian National Tax Conference 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menambah baik sistem pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan memperkenalkan mekanisme pembayaran secara berkala, seakan sistem pencen bulanan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, mekanisme itu juga bagi memastikan simpanan persaraan pencarum tidak habis terlalu awal.

Katanya, idea utamanya adalah membangunkan satu sistem yang lebih mampan dan ia sedang diperhalusi serta sudah diberikan penjelasan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU). 

“Sebagai contoh seperti sistem pencen di mana simpanan tidak dikeluarkan sekali gus, tetapi dibayar secara berkala setiap bulan.

“Kita sedar bahawa ramai pencarum yang menghabiskan simpanan terlalu cepat selepas persaraan, lalu menghadapi kesukaran kewangan pada penghujung usia. Oleh itu, kita perlu buat kajian menyeluruh terhadap perkara ini,”  katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Persidangan Percukaian Kebangsaan 2025 di sini, semalam. 

Menurutnya, jika cadangan ini diterima, pelaksanaannya akan dibuat secara praktikal dan berfasa. 

“Seperti yang dijelaskan sebelum ini, ia mungkin hanya membabitkan mereka yang baru menyertai KWSP dan bukan pencarum sedia ada. 

“Namun, pencarum sedia ada juga mungkin diberi pilihan untuk menyertai sistem baharu itu, jika mereka mahu,” katanya.

Amir berkata, pendekatan baharu ini bertujuan menjadikan KWSP lebih mampan dan selari dengan realiti peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia serta cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Saya sudah nyatakan bahawa perkara ini sudah diperhalusi dan dijelaskan oleh KWSP. 

“Malah, KWSP sendiri memaklumkan bahawa cadangan ini masih dalam peringkat kajian dan belum sampai ke tahap pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata, perkara tersebut mungkin lebih baik untuk negara sekiranya dapat beralih kepada sistem seperti pencen kerana boleh menjamin bahawa pencarum mempunyai simpanan mencukupi apabila mereka bersara kelak.

“Masalah yang kita lihat sekarang ialah apabila pencarum diberi akses penuh, sebahagian besar akan menghabiskan simpanan mereka dengan cepat. Akibatnya, apabila mereka mencapai usia tua, mereka tidak lagi mempunyai simpanan yang mencukupi. 

“Oleh itu, perkara paling penting ialah kita lakukan kajian secara menyeluruh dan teliti hanya selepas kajian itu selesai dan mendapat kelulusan, barulah kita boleh laksanakan cadangan ini,” katanya.

Tambah, beliau berkata, pihaknya percaya dalam kajian itu nanti, semua pihak akan menilai cara pelaksanaan yang paling praktikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN