SEREMBAN: Syarikat Melor Binti Misnan yang mengusahakan perniagaan sejuk beku karipap pusing meraih peluang untuk memasuki mana-mana pasar raya selepas mendapat pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengusaha, Melor Misnan,41 berkata, dia yang memohon sijil halal pada Ogos 2023 dan lulus pada Januari 2024.
“Saya melihat kebanyakan pasar raya mula mengutamakan produk yang mempunyai pensijilan halal.
“Malah ada beberapa ekspo makanan juga mula melihat pensijilan halal. Oleh itu, saya melihat peluang kami sebagai usahawan amat perlu dan bertepatan untuk mendapatkan sijil halal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, Melor menjual pelbagai jenis karipap pusing dengan pelbagai jenis inti seperti inti kentang, ayam, daging, sardin dengan harga mampu milik antara RM7 hingga Rm12 (dalam kuantiti sembilan biji).
“Selain itu, saya turut mengausahakan kerepek jejari udang,setengah kilo dengan harga RM20.
“Produk karipap pusing sudah ada di pasaran sejak 2018 , iaitu selama tuju tahun di mana sudah menjalankan perniagaan karipap pusing sejak 2020,” katanya.
Melor memaklumkan, dia menjalankan perniagaan di Felda Jelai 4, Gemas, Negeri Sembilan itu turut dibantu empat orang kakitangan.
Melor turut menggalakkan usahawan lain memohon pensijilan halal bermula dari peringkat awal.
“Sijil halal lebih mudah bermula dari perniagaan yang kecil. Ini kerana proses pemantauan lebih senang, kos lebih rendah, dapur dan operasi masih terkawal.
“Pensijilan halal juga membuktikan kita melaksanakan perniagaan dengan lebih jujur dan ikhlas. Ia bukan soal dokumen namun, merupakan soal akhlak dan tanggungjawab sebagai pengusaha muslim,” katanya.- UTUSAN