JC3 kekal komitmen laksanakan agenda iklim

JC3 kekal komitmen laksanakan agenda iklim

BANK Negara Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) kekal teguh dalam komitmen untuk melaksanakan tindakan iklim dan membina daya tahan iklim jangka panjang.

Jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

SC dan BNM berkata, pada mesyuarat itu, ahli JC3 membincangkan kesan perkembangan geopolitik terhadap rantaian bekalan global, khususnya kadar nyah karbon yang sedang membentuk semula landskap perubahan iklim.

“Para ahli menekankan kepentingan untuk mengamalkan pendekatan pragmatik ke arah matlamat sifar bersih dengan mengambil maklum akan tekanan besar pada rantaian bekalan global serta kekangan yang wujud daripada aspek kesediaan teknologi.

“Walau bagaimanapun, JC3 mengesahkan peralihan global ini memberikan peluang pada waktu yang tepat untuk rantau ini memaparkan kepimpinan dalam memajukan kewangan mampan dan mempercepat tindakan iklim.

“Para ahli JC3 turut menyedari tentang momentum positif dan kemajuan berterusan dalam semua usaha yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

JC3 mengadakan mesyuaratnya yang ke-15 pada 7 Ogos 2025.

Mesyuarat itu turut mengalu-alukan penyertaan sembilan ahli baharu yang mencerminkan perwakilan yang lebih pelbagai dan inklusif merentas bahagian dalam sektor kewangan.

Makmal Inovasi Kewangan Iklim (CFIL) yang dilancarkan pada bulan Jun 2025 telah mendapat sambutan yang baik daripada pemilik projek serta pelbagai penyumbang dana yang berpotensi.

Projek ini termasuk projek strategik ASEAN seperti ASEAN Power Grid dan 16 projek lain merentas empat bidang tematik iaitu peralihan tenaga, ekonomi kitaran, pertanian lestari serta biodiversiti dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

Para ahli JC3 menzahirkan komitmen mereka untuk menyokong projek-projek di bawah CFIL dan bersedia untuk memberikan pembiayaan, perlindungan kewangan serta kepakaran teknikal.

Penolong Gabenor BNM dan Pengerusi Bersama JC3, Madelena Mohamed berkata, semua mesti bertindak sekarang secara tegas dengan mempertingkatkan pembiayaan iklim dan inisiatif mesra alam semula jadi di Malaysia.

“Minat yang tinggi terhadap CFIL daripada pemilik projek serta sektor kewangan adalah menggalakkan, namun penyertaan industri yang lebih meluas dan mendalam adalah sangat penting untuk menggerakkan perubahan yang nyata,” katanya.

Dalam pada itu, ahli-ahli JC3 turut membincangkan rancangan untuk menghasilkan Taksonomi Malaysia Mengenai Kewangan Mampan (Taksonomi Malaysia) yang bersepadu.

Menerusi JC3, pihak pengawal selia dan industri kewangan akan bekerjasama untuk membangunkan Taksonomi Malaysia bersama-sama pihak berkepentingan dan kementerian yang berkaitan.

“Taksonomi ini akan dikembangkan daripada pendekatan berasaskan prinsip kepada penggunaan kriteria saringan teknikal berasaskan sains serta nilai ambang kuantitatif bagi meningkatkan ketepatan dan kualiti penilaian.

“Taksonomi ini juga akan disejajarkan dengan ASEAN Taxonomy. JC3 turut komited memberikan sokongan pada usaha kolaboratif Jawatankuasa Penasihat Mengenai Pelaporan Kemampanan (Advisory Committee on Sustainability Reporting, ACSR) dalam melaksanakan Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (National Sustainability Reporting Framework, NSRF) di seluruh sektor kewangan.

“JC3 juga sedang mengkaji pembangunan dokumen panduan atau kes penggunaan untuk sektor kewangan bagi membimbing peserta industri dalam memenuhi kehendak penzahiran NSRF,” katanya.

Selaras dengan komitmen berterusan untuk mengatasi cabaran data, JC3 akan menerbitkan Katalog Data JC3 edisi keempat pada bulan November tahun ini.

“Versi kemas kini ini akan mencerminkan maklum balas daripada pihak berkepentingan mengenai jurang data dan usaha kolaboratif lain yang digerakkan oleh sektor kewangan untuk menangani jurang yang wujud.

“JC3 juga akan terus menyokong akses yang lebih meluas kepada data awam serta usaha pembinaan keupayaan berkaitan hal-ehwal data iklim,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN