PETALING JAYA: Jenama kenderaan baharu dari China, Jaecoo jadi jenama bukan nasional ketiga terlaris di Malaysia dengan pegangan pasaran sebanyak tujuh peratus setakat ini, sekali gus mengatasi jenama Jepun, Mazda.
MBSB Investment Bank Berhad berkata, Jaecoo yang merupakan jenama di bawah pengeluar gergasi Chery mencatatkan jualan keseluruhan industri (TIV) sebanyak 1,450 unit pada Julai lalu.
Katanya, ini telah menyingkirkan Mazda daripada kedudukan ketiga dengan menyaksikan jualan dari awal tahun hingga kini (YTD) jatuh sebanyak 53.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Permintaan dalam segmen mampu milik kekal berdaya tahan, dengan bahagian pasaran jenama nasional meningkat kepada 69 peratus dalam tujuh bukan pertama 2025, berbanding 68 peratus dalam tempoh sama 2024.
“Ini sebahagian besarnya didorong oleh Perodua (-1.1 peratus tahun ke tahun) dengan penguncupan TIV lebih baik daripada penurunan keseluruhan sektor tahun ini dan berada di landasan pada 58 peratus daripada sasaran jualan 345,000 unitnya untuk 2025.
“Dalam segmen bukan nasional, Toyota mengekalkan 29 peratus bahagian pasarannya, mencatatkan penurunan 6.3 peratus tahun ke tahun dalam TIV, yang lebih berdaya tahan berbanding pemain Jepun yang lain,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bank pelaburan berkata, TIV bagi Julai 2025 meningkat 27.8 peratus bulan ke bulan kepada 70,057 unit, disokong oleh bulan bekerja yang dilanjutkan, mendorong pemulihan dalam jumlah pengeluaran industri (TIP).
“Ini meningkatkan jumlah awal tahun sehingga kini kepada 443,777 unit (-4.6 peratus tahun ke tahun), mewakili 56 peratus daripada unjuran tahun penuh kami yang kami anggap selaras dengan jangkaan.
“Dalam jumlah ini, segmen komersial mencatatkan penurunan yang lebih ketara sebanyak 18.6 peratus tahun ke tahun, berbanding segmen penumpang yang susut 3.2 peratus tahun ke tahun,” ujarnya.
MBSB Investment Bank berkata, keseluruhan TIV dijangka berkurangan tahun ini di berdasarkan asas yang kukuh.
“Ramalan 2025 kami kekal pada 792,000 unit, jatuh 3.0 peratus tahun ke tahun, yang sebahagian besarnya sejajar dengan anggaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 780,000 unit (turun 4.5 peratus tahun ke tahun),” katanya. – UTUSAN










