PETALING JAYA: Kadar inflasi negara meningkat 1.2 peratus pada Julai 2025, berbanding 1.1 pada Jun apabila Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan 134.7 berbanding 133.1 pada tempoh sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Peningkatan itu didorong oleh kenaikan mendadak dalam kumpulan Insurans dan Perkhidmatan Kewangan yang melonjak kepada 5.5 peratus berbanding 1.5 peratus pada bulan sebelumnya.
Selain itu, kumpulan Restoran dan Perkhidmatan Penginapan turut meningkat kepada 3.1 peratus (Jun: 2.8 peratus), manakala kumpulan pengangkutan naik kepada 0.4 peratus berbanding 0.3 peratus pada Jun lalu.
Sementara itu, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang hampir 30 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan, 1.9 peratus pada Julai berbanding 2.1 peratus bulan sebelumnya.
Subkumpulan makanan di luar rumah kekal tinggi pada 4.3 peratus, manakala makanan di rumah menurun kepada 0.3 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sebanyak 58.3 peratus item yang dipantau menunjukkan kenaikan harga pada Julai, namun hampir semua peningkatan adalah di bawah 10 peratus.
“Daripada 573 item, sebanyak 334 mencatatkan kenaikan harga, manakala 189 item menunjukkan penurunan dan 50 item kekal tidak berubah.
“Bagi komoditi makanan, kelas perbelanjaan sayur-sayuran terus berada pada jajaran negatif iaitu -6.6 peratus, termasuk penurunan harga tomato (-22.1 peratus), kubis (-13.3 peratus) dan sawi (-9.0 peratus).
“Harga ayam standard Malaysia pula direkodkan RM10.25 sekilogram berbanding RM10.35 setahun lalu,” katanya dalam kenyataan.
Menurut laporan itu, inflasi mengikut negeri menunjukkan 12 negeri berada di bawah paras inflasi nasional.
“Kelantan mencatatkan kadar terendah (0.0 peratus), manakala Johor (1.8 peratus), Selangor (1.5 peratus), Negeri Sembilan (1.4 peratus) dan Melaka (1.3 peratus) merekodkan kadar lebih tinggi daripada paras nasional.
“Dari segi perbandingan antarabangsa, inflasi Malaysia (1.2 peratus) lebih rendah berbanding Vietnam (3.2 peratus), Indonesia (2.4 peratus) dan Korea Selatan (2.1 peratus), tetapi lebih tinggi daripada Filipina (0.9 peratus), China (0.0 peratus) dan Thailand (-0.7 peratus),” katanya. – UTUSAN