Indeks Pengeluaran Perindustrian naik 3.0 peratus pada Jun 2025

Indeks Pengeluaran Perindustrian naik 3.0 peratus pada Jun 2025

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat signifikan 3.0 peratus pada Jun 2025, didorong oleh momentum pertumbuhan dalam sektor pembuatan dan elektrik, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan berbanding 0.3 peratus pada bulan sebelumnya ini disokong oleh pertumbuhan output yang memberansangkan dalam sektor pembuatan yang bertumbuh 3.6 peratus (Mei 2025: 2.8 peratus) dan sektor elektrik meningkat 4.1 peratus (Mei 2025: -0.1 peratus).

Walau bagaimanapun, beliau berkata, pengeluaran sektor perlombongan masih dalam jajaran negatif tetapi memulih ketara kepada negatif 0.01 peratus (Mei 2025: -10.2 peratus).

“Perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP mencatatkan pertumbuhan positif yang signifikan 7.6 peratus, berbanding 1.1 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

“Pada Jun 2025, industri berorientasikan domestik berkembang pesat sebanyak 5.1 peratus berbanding peningkatan 2.6 peratus yang direkodkan pada Mei 2025.

“Perkembangan pesat ini disokong oleh peningkatan dua digit 11.3 peratus dalam pembuatan produk prosesan makanan diikuti dengan peningkatan dalam pengeluaran pembuatan logam asas (6.7 peratus) dan pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler meningkat 3.4 peratus pada Jun 2025,” katanya dalam kenyataan.

Perbandingan bulan ke bulan pula, Mohd Uzir berkata, industri berorientasikan domestik menyusut 3.1 peratus, berbanding 1.0 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Sementara itu, beliau berkata, industri berorientasikan eksport mencatatkan pertumbuhan yang malar kepada 2.9 peratus selepas peningkatan yang sama direkodkan pada bulan sebelumnya.

“Pertumbuhan malar ini terutamanya disebabkan oleh kemerosotan 5.9 peratus dalam Pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal.

“Ini adalah selari dengan prestasi eksport barangan negara yang masih mencatatkan penurunan 4.2 peratus pada Jun 2025 selepas pertama kali mencatatkan pertumbuhan negatif pada Mei 2025.

“Sebaliknya, pembuatan minyak dan lemak sayuran & haiwan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.5 peratus.

“Pembuatan jentera dan peralatan t.t.t.l. serta pembuatan kelengkapan elektrik masing-masing yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 9.3 peratus dan 7.1 peratus,” jelasnya.

Mohd Uzir Mahidin menambah, pertumbuhan output sektor perlombongan masih dalam jajaran negatif walaupun memulih ketara negatif 0.01 peratus pada Jun 2025 (Mei 2025: -10.2 peratus) kesan daripada lonjakan dalam peningkatan pengeluaran gas asli 2.3 peratus.

Sementara itu, beliau berkata, minyak mentah & kondensat pula terus merekodkan pertumbuhan negatif 3.2 peratus.

“Berbanding Mei 2025, indeks perlombongan meningkat ketara 15.8 peratus selepas mengalami pertumbuhan negatif 12.8 peratus pada bulan sebelumnya.

“Sementara itu, penjanaan elektrik meningkat 4.1 peratus tahun ke tahun pada Jun 2025 (Mei 2025: -0.1 peratus). Perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik menyusut kepada negatif 3.0 peratus (Mei 2025: 7.4 peratus),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN