PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia, yang mengukur perubahan harga di peringkat pengeluar mencatatkan penurunan lebih perlahan sebanyak -3.8 peratus pada Julai 2025, berbanding penurunan 4.2 peratus pada bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan pada Julai terutamanya disebabkan oleh sektor Perlombongan dan Pembuatan, yang mengalami trend penurunan sejak awal tahun.
“Sektor perlombongan menurun 8.7 peratus (Jun 2025: -8 peratus) dan sektor Pembuatan pula turun empat peratus (Jun 2025: -4.3 peratus).
“Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan peningkatan 1.1 peratus (Jun 2025: -0.3 peratus), sektor bekalan elektrik & gas meningkat empat peratus (Jun 2025: -0.2 peratus), manakala sektor bekalan air mencatatkan penurunan marginal 0.1 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, pada asas bulan ke bulan, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat 0.3 peratus pada Julai 2025, selepas menyaksikan penurunan 0.7 peratus pada bulan sebelumnya.
Mengulas mengenai harga komoditi terpilih Malaysia, Mohd. Uzir berkata, berdasarkan Bank Dunia, purata harga minyak mentah Brent pada Julai 2025 ialah AS$70.95 setong, penurunan kecil berbanding AS$71.45 setong pada bulan sebelumnya disokong oleh dasar bekalan.
“Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat menjangkakan purata harga sekitar AS$70 hingga AS$71 setong dalam jangka masa pendek, sejajar dengan prestasi pasaran sebenar.
“Sementara itu, harga purata minyak sawit mentah (MSM) Malaysia mencatatkan RM4,112.50 satu tan pada Julai, meningkat daripada RM3,969 pada Jun 2025.
“Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menjangkakan harga MSM kekal pada julat RM 3,900 hingga 4,200 satu tan, disokong oleh permintaan kukuh dari China dan India, serta daya saing harga yang lebih baik berbanding minyak kacang soya,” katanya.-UTUSAN