KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank Bhd (HLB) mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 5.3 peratus kepada RM1.09 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 berbanding RM1.03 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Bank itu turut mengumumkan dividen tertinggi setakat ini sebanyak 68 sen sesaham, menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi tahun kewangan 2025 kepada 96 sen sesaham, meningkat 28 sen atau 41 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Nisbah pembayaran dividen turut melonjak kepada 47 peratus berbanding 34 peratus pada tahun lalu.
Pendapatan keseluruhan pula melonjak 9.7 peratus kepada RM1.62 bilion daripada RM1.48 bilion, dipacu oleh perbankan Islam, aktiviti berasaskan yuran serta pendapatan operasi lain yang lebih kukuh.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, bank berjaya mencapai Indikator Prestasi Utama (KPI) yang disasarkan meskipun berdepan persekitaran ekonomi mencabar.
“Pinjaman kasar dan pembiayaan kami berkembang 7.8 peratus, melepasi panduan 6 hingga 7 peratus yang ditetapkan, didorong segmen utama iaitu gadai janji, automotif, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perbankan komersial serta pasaran luar negara.
“Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset HLB meningkat kepada RM314.6 bilion daripada RM297.8 bilion setahun lalu, manakala pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan bertambah kepada RM210.06 bilion berbanding RM194.93 bilion.
“Deposit pelanggan juga bertambah kukuh kepada RM238.93 bilion daripada RM220.43 bilion, sementara ekuiti pemegang saham naik kepada RM39.29 bilion, menterjemahkan nilai aset bersih sesaham RM19.16 berbanding RM18.19 sebelumnya,” katanya ketika mengumumkan keputusan FY2025 penuh HLB di sini, semalam.
Mengulas mengenai deposit deposit semasa dan simpanan (CASA), Malkit Singh berkata, ia meningkat kepada 32.9 peratus hasil strategi pengurusan deposit komuniti dan penyelesaian tunai berpusat pelanggan bagi PKS.
“Walaupun sumbangan keuntungan daripada Bank of Chengdu (BOCD) lebih rendah, keuntungan teras pra-BOCD meningkat dua angka, iaitu 10.1 peratus kepada RM3.9 bilion.
“HLB turut mencatatkan pendapatan bukan faedah melonjak 33.4 peratus kepada RM1.5 bilion, dipacu pengurusan kekayaan, perbendaharaan, pertukaran asing serta hasil kad bank,” katanya.
Bagi aspek kelestarian, HLB menyalurkan RM4.2 bilion pembiayaan mampan setakat Jun 2025, sekali gus melepasi sasaran tahunan yang ditetapkan, selain menerbitkan nota jangka sederhana hijau bernilai RM500 juta sebagai sebahagian strategi pembiayaan lestari.
Lam berkata, bank menyasarkan pertumbuhan pinjaman antara 6 hingga 7 peratus, NIM sekitar 1.8 hingga 1.9 peratus serta mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan kira-kira 39 peratus bagi tahun kewangan 2026.
“Kami komited untuk mengekalkan momentum pertumbuhan dengan memacu enjin utama keuntungan iaitu pinjaman, pendapatan bukan faedah dan CASA, di samping memastikan kualiti aset yang kukuh serta memberi pulangan lebih baik kepada pemegang saham,” ujarnya.-UTUSAN