Gen Rise capai jualan 100 peratus, lonjak mercu tanda baharu Johor Bahru

Gen Rise capai jualan 100 peratus, lonjak mercu tanda baharu Johor Bahru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBANGUNAN bercampur perdana dan apartmen servis pegangan bebas, Gen Rise oleh Majestic Gen berjaya mencatat jualan 100 peratus, sekali gus melonjakkan mercu tanda baharu di Johor Bahru dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM563 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hoo Kim See berkata, projek itu yang dilancarkan pada Januari 2025 menerima sambutan luar biasa, sekali gus mencerminkan keyakinan pembeli terhadap kedudukan, reka bentuk serta potensi hartanah tersebut.

“Gen Rise dibangunkan di atas tanah seluas 0.46 hektar dengan menara setinggi 47 tingkat yang menampilkan seni bina kontemporari dan identiti reka bentuk Pop-Brutalism, gabungan gaya Brutalist dengan sentuhan moden yang ekspresif.

“Ia turut menawarkan konsep modular dan fleksibel di mana kebanyakan unit boleh diubah suai menjadi rumah-pejabat, seiring gaya kerja hibrid masa kini.

“Gen Rise dirangka sebagai mercu tanda moden di Johor Bahru dengan visi membentuk komuniti bandar yang progresif dan dinamik,” katanya dalam kenyataan.

 

Projek itu menawarkan 732 unit kediaman dengan keluasan antara 497 hingga 1,930 kaki persegi pada harga bermula RM563,000 serta disasar kepada profesional moden, keluarga muda dan pembeli berbilang generasi.

Nama “Gen Rise” menggambarkan sebuah janji yang penuh makna, simbol kepada pertumbuhan bertenaga dan momentum tanpa henti ke arah masa depan.

Beliau berkata, Gen Rise terletak hanya 720 meter dari JB Sentral dan 980 meter dari Stesen Rapid Transit System (RTS) Link Bukit Chagar yang dijadual beroperasi tidak lama lagi.

“Ia turut dilengkapi laluan berbumbung ke jambatan JB Sentral, sekali gus menambah nilai akses rentas sempadan. 

“Dengan perjalanan hanya enam minit ke Singapura melalui RTS Link, Gen Rise menjadi pilihan ideal bagi profesional yang bekerja di republik itu tetapi memilih untuk menetap di Johor Bahru,” katanya.

Selain itu, projek ini turut menawarkan kemudahan gaya hidup moden yang lengkap merentasi tiga aras fasiliti, antaranya dek yoga, teres BBQ, gelanggang tinju luar, kolam renang infiniti, kabana, serta gimnasium langit di tingkat 47. 

 

Reka bentuk landskap hijau yang harmoni turut disediakan bagi mewujudkan persekitaran tenang di tengah bandar.

Lokasi strategik itu juga memberi nilai tambah dengan akses kepada lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Penyuraian Timur Johor Bahru (EDL), selain dikelilingi kemudahan seperti pusat beli-belah R&F Mall, Johor Bahru City Square dan Komtar JBCC.

“Bagi mereka yang menggemari sukan eksklusif, Johor Golf & Country Club menjadi tarikan istimewa. Kemudahan kesihatan berkualiti tinggi seperti Hospital Pakar KPJ Johor dan Hospital Sultanah Aminah tersedia bagi memastikan kesejahteraan penghuni. 

“Pendidikan turut menjadi salah satu nadi utama dengan institusi berprestij seperti Sekolah Menengah Foon Yew dan Open University Malaysia Johor Bahru,” ujarnya.

Tambahnya, lokasi-lokasi strategik tersebut memastikan setiap penghuni tetap terhubung dengan perkhidmatan pentadbiran kritikal, termasuk Menara MBJB, Balai Polis Sentral, UTC Galleria, dan Pejabat Pos Besar Johor Bahru.

“Kejayaan jualan Gen Rise mengukuhkan kedudukan Majestic Gen sebagai pemaju yang komited menyediakan projek berkualiti dengan nilai pelaburan jangka panjang yang mampan,” katanya.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN