FGV dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia Khamis ini

FGV dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia Khamis ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: FGV Holdings Bhd bakal dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada Khamis ini, sekali gus menandakan kejayaan usaha berterusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengambil alih sepenuhnya syarikat perladangan gergasi itu secara persendirian.

Langkah itu hadir selepas 13 tahun FGV muncul sebagai tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di Asia dan ketiga terbesar di dunia pada 2012.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV memaklumkan keseluruhan modal saham terbitannya akan dikeluarkan daripada senarai rasmi bursa berkuat kuasa 9 pagi, 28 Ogos ini.

Keputusan itu dibuat selepas Felda berjaya meningkatkan pegangan sahamnya kepada 94.97 peratus pada penutupan tawaran pengambilalihan tanpa syarat pada 15 Ogos lalu, yang membawa kepada penggantungan dagangan kaunter berkenaan pada 22 Ogos.

Felda kemudiannya mengeluarkan notis kepada pemegang saham minoriti, menawarkan tempoh sehingga 15 Januari 2026 untuk mereka menjual baki saham kepada agensi kerajaan itu pada harga RM1.30 sesaham.

Dengan perkembangan tersebut, FGV kini kembali sepenuhnya di bawah kawalan Felda.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Felda akan menyusun semula FGV bagi memastikan kepentingan peneroka diutamakan.

Menurut beliau, Felda yang menjadi teras kepada FGV tidak lagi terikat dengan pelbagai kekangan, sebaliknya bebas menentukan hala tuju baharu selain memberi jaminan bahawa manfaat peneroka akan terus dipelihara menerusi Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd. (KPF).

Penyahsenaraian FGV turut menutup satu lagi babak mencabar syarikat itu, termasuk berdepan larangan import oleh Amerika Syarikat sejak 2020 berhubung dakwaan amalan buruh paksa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN