ENGIE tumpu pembangunan tenaga boleh diperbaharui  di Malaysia

ENGIE tumpu pembangunan tenaga boleh diperbaharui  di Malaysia

ERNESTO RUA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat tenaga global terkemu­ka, EN­GIE menyatakan ko­mit­mennya untuk memper­kukuh peranan dalam peralihan tenaga Malaysia dengan menyasarkan peningkatan penyertaan dalam projek tenaga boleh diperbaharui antara tahun 2025 hingga 2030.

Ketua Tenaga Boleh Diperbaharui bagi Asia Tenggara ENGIE, Ernesto Rua berkata, syarikat mempunyai lebih 98,000 pekerja di 30 negara, berhasrat untuk menjadi syarikat utiliti peralihan tenaga terbaik di dunia menjelang 2030. 

“Di Asia Tenggara, syarikat ini memberi tumpuan kepada membantu perniagaan mengurangkan pelepasan karbon melalui penyelesaian tenaga bersih yang praktikal dan terintegrasi, termasuk tenaga solar, sistem penyejukan, kecekapan tenaga dan bekalan kuasa bersih.

“Malaysia dikenalpasti sebagai satu daripada pasaran utama dalam strategi ini, didorong oleh dasar kerajaan yang progresif, permintaan korporat yang semakin meningkat terhadap tenaga hijau, serta peluang pelaburan infrastruktur yang memberangsangkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dalam usaha menyokong matlamat Malaysia untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050, ENGIE kini melaksanakan beberapa projek utama seperti Kerian Solar iaitu loji tenaga solar berskala besar dengan kapasiti 100 megawatt (MW) dan BKH Solar, projek solar berkapasiti 30 MW.

“Selain itu, ENGIE turut terlibat aktif dalam program-program nasional seperti Large Scale Solar (LSS) dan kim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS). Syarikat ini juga bekerjasama dengan pelanggan komersial melalui pelbagai kaedah seperti pemasangan solar di premis, perjanjian pembelian tenaga maya (vPPA) serta penggunaan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC),” katanya. 

Di peringkat global, ENGIE juga merupakan pemain utama dalam sektor biometana, dengan pengeluaran melebihi 1 TWh setahun di Eropah dan perdagangan lebih 6 TWh (terawatt jam bersamaan 6 bilion kilowatt jam (kWh) setahun kepada pelanggan antarabangsa. 

“Potensi untuk mengembangkan kepakaran ini ke rantau Asia Tenggara kini sedang giat diterokai.

“Apa yang membezakan ENGIE ialah pendekatannya yang menyeluruh daripada pembangunan projek, penyusunan kewangan tenaga hingga kepada pelaksanaan penyelesaian di lapangan  yang memberikan pelanggan keyakinan terhadap penyelesaian tenaga yang boleh dipercayai, menjimatkan, dan berskala besar ke arah sifar bersih. 

“Melalui pelbagai inisiatif ini, ENGIE optimis dapat menyumbang secara signifikan dalam landskap tenaga bersih Malaysia serta menyokong negara ini untuk menjadi peneraju serantau dalam tenaga boleh diperbaharui menjelang dekad akan datang,” katanya. 

Dalam pada itu, Rua berkata, pasukan tenaga boleh diperbaharui kami sedang giat membangunkan portfolio projek ENGIE di Malaysia dengan tumpuan utama kepada projek solar berskala besar. 

“Baru-baru ini, kami telah mengemukakan cadangan di bawah program LSS5+ dengan kapasiti 99.99 MW dan kini sedang membuat persediaan untuk menyertai CRESS. Kami juga sedang meneroka peluang bagi LSS6, sebaik sahaja butiran program tersebut diumumkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN