EMPOF 2025 angkat daya saing sawit Malaysia

EMPOF 2025 angkat daya saing sawit Malaysia

BURSA Malaysia Derivatives dengan kerjasama Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menganjurkan Forum Sawit Malaysia Timur (EMPOF) 2025 di Sabah baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Derivatives Berhad (Bursa Malaysia Derivatives) dengan kerjasama Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah menganjurkan Forum Sawit Malaysia Timur (EMPOF) 2025 di Sabah baru-baru ini. 

Forum itu menghimpunkan lebih 200 peserta dari seluruh Asia Tenggara melibatkan pembuat dasar, pedagang, peneraju perladangan, institusi kewangan, pakar pelaburan, pengurus risiko, penganalisis serta penyelidik.

Forum edisi kedua yang berlangsung di Sabah itu menegaskan peranan Malaysia Timur sebagai pemacu utama dalam pengeluaran minyak sawit mampan, sekali gus menjadi penyumbang penting kepada eksport negara.

Pengarah Pasaran Derivatif Bursa Malaysia Derivatives, Mohd. Saleem Kader Bakas berkata, penganjuran forum ini membuka ruang dialog berimpak tinggi serta menjalin kerjasama strategik yang mampu memperkukuh daya saing Malaysia Timur.

“Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) terus menjadi penanda aras global dalam penemuan harga, manakala peluasan kepada instrumen baharu seperti minyak kacang soya dan minyak masak terpakai mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi dan kelestarian. 

Matlamat kami ialah untuk membangunkan pasaran yang kukuh serta inovatif untuk memperteguhkan kedudukan Malaysia sebagai hab global penemuan harga minyak sawit,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Sron berkata, Malaysia Timur memainkan peranan penting dalam kejayaan industri minyak sawit negara apabila menyumbang hampir 44 peratus daripada jumlah pengeluaran nasional.

“MPOC komited menyokong pertumbuhan ini melalui usaha memperjuangkan kelestarian, memperluas akses pasaran dan meningkatkan daya saing global melalui penglibatan perdagangan yang disasarkan serta kerjasama strategik,” ujarnya. 

Forum itu turut menampilkan sesi perkongsian pakar dan perbincangan panel melibatkan pelbagai isu berkaitan minyak sawit di Malaysia Timur. 

Selain itu, forum berkenaan turut menjadi platform jaringan perniagaan menerusi sesi Broker Connect dan Sundowner Networking Reception yang disokong Phillip Capital Sdn. Bhd. selaku rakan pembrokeran EMPOF, membolehkan pemain industri sawit rantau ini meneroka kerjasama strategik dan penyelesaian perniagaan yang praktikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN