PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar sederhana pada 2026 meskipun berdepan ketidakpastian perdagangan global yang semakin meningkat dan permintaan luaran yang perlahan.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, pertumbuhan tersebut didorong permintaan domestik yang berdaya tahan terutamanya melalui pelaburan swasta, pekerjaan yang stabil dan langkah peningkatan pendapatan seperti bantuan tunai bersasar dan kenaikan gaji.
Katanya, sektor pelancongan yang digerakkan oleh Tahun Melawat Malaysia 2026 juga dijangka menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan.
“Dalam konteks ini, Belanjawan 2026 akan mengutamakan pengukuhan sumber pertumbuhan domestik, kepelbagaian pasaran eksport dan meluaskan peluang pendapatan isi rumah.
“Pelaburan awam dipertingkat melalui projek-projek strategik di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan peningkatan pelaburan langsung domestik (DDI) oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melalui program Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP), sekali gus mengukuhkan asas bagi daya tahan ekonomi yang inklusif dan mampan,” katanya dalam kenyataan Prabelanjawan 2026.
Sementara itu, kementerian berkata, aspirasi Belanjawan 2026 akan memacu reformasi sektor awam dalam memperkukuh tadbir urus, mempertingkat penyampaian perkhidmatan dan menjamin kemampanan fiskal.
Menurutnya, antaranya adalah memodenkan perkhidmatan awam, memperkenal kerangka dan perundangan yang meningkatkan prestasi perkhidmatan awam serta memperkukuh prinsip integriti dan tadbir urus beretika.
“Kerajaan sedang rancak mendigitalkan sektor awam bagi mengoptimum kutipan hasil, mengurangkan ketirisan dan memperbaik penyampaian program.
“Ini termasuk penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data raya dan automasi untuk mengesan ketidakpatuhan cukai yang kini diguna pakai oleh agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menggunakan AI untuk penguatkuasaan yang lebih cekap,” jelasnya.
Selain itu, Belanjawan 2026 juga akan memperkasa mekanisme abntuan sosioekonomi untuk kehidupan bermaruah
“Belanjawan 2026 terus menyediakan bantuan sosioekonomi bagi melindungi kumpulan berisiko tinggi yang terjejas akibat tekanan kos sara hidup.
“Bantuan ini bertujuan untuk menyediakan sokongan pendapatan agar semua lapisan masyarakat dapat menikmati kehidupan yang bermaruah dan sejahtera, memastikan rakyat mampu memperoleh keperluan asas, terutamanya makanan dan barangan keperluan, di samping memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negara.
“Pada masa yang sama, kerajaan akan berusaha mengurangkan kesilapan dalam penyasaran, sama ada penyertaan yang tidak sepatutnya mahupun pengecualian yang tidak wajar agar bantuan disasarkan dengan tepat kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan komited untuk beralih daripada subsidi menyeluruh kepada pelaksanaan subsidi bersasar bagi menghapuskan ketirisan, meningkatkan kecekapan fiskal dan memastikan sumber awam diagihkan kepada golongan yang memerlukan serta majoriti rakyat terus menerima manfaat.
“Selaras dengan Belanjawan Madani terdahulu, Belanjawan 2026 meneruskan usaha kerajaan untuk merapatkan jurang antara bandar-luar bandar dan memodenkan pembangunan wilayah termasuk kawasan terpencil dan kurang mendapat perhatian di Sabah dan Sarawak.
“Pelaburan utama akan tertumpu kepada infrastruktur dan utiliti asas termasuk jalan raya, air terawat, elektrik, sistem pembentungan dan internet berkelajuan tinggi,” katanya.
Jelasnya, kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Oktober 2025.
“Kerajaan komited untuk menterjemahkan input yang diterima ke dalam Belanjawan 2026 terutamanya yang dapat menyokong pemerkasaan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan tadbir urus yang lebih baik.
“Sebarang komen, maklum balas dan cadangan mengenai Belanjawan 2026 boleh disalurkan melalui portal rasmi https://belanjawan.mof.gov.my,” ujarnya. – UTUSAN










