DRB-HICOM catat PBT RM123.19 juta pada suku kedua 2025

DRB-HICOM catat PBT RM123.19 juta pada suku kedua 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DRB-HICOM Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM123.19 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, meningkat ketara berbanding RM25.93 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Prestasi lebih kukuh itu disokong oleh hasil berjumlah RM4.14 bilion, berbanding RM3.76 bilion bagi suku yang sama pada 2024, didorong terutamanya oleh sumbangan sektor perbankan selain peningkatan dalam sektor automotif, pos, hartanah dan perkhidmatan.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, DRB-HICOM merekodkan PBT berjumlah RM215.81 juta dengan hasil RM8.25 bilion, hampir menyamai pencapaian tempoh sama tahun sebelumnya iaitu PBT RM236.70 juta dan hasil RM8.09 bilion.

Menurut kenyataan syarikat itu, prestasi lebih kukuh sektor perbankan dan perkhidmatan berjaya mengimbangi kelembapan dalam sektor lain, sekali gus menyokong kestabilan keseluruhan kumpulan.

“Keputusan suku kedua yang lebih kukuh didorong terutamanya oleh keuntungan lebih tinggi dalam sektor Perbankan, disokong oleh peningkatan pendapatan pembiayaan dan pelaburan serta pengurangan elaun kemerosotan disebabkan pemulihan yang bertambah baik.

“Dari segi hasil mengikut sektor bagi separuh pertama 2025, automotif kekal penyumbang utama dengan RM5.68 bilion, meningkat 1.7 peratus berbanding tahun lalu. 

“Sektor perbankan pula mencatatkan kenaikan 5.3 peratus kepada RM1.09 bilion, manakala pos naik 1.5 peratus kepada RM890.49 juta,” katanya. 

Sementara itu, hasil hartanah melonjak 34 peratus kepada RM140.92 juta, manakala perkhidmatan meningkat 14.5 peratus kepada RM103.49 juta. 

Bagaimanapun, sektor aeroangkasa dan pertahanan mencatat penurunan hasil sebanyak 12.7 peratus kepada RM343.91 juta berikutan permintaan yang lebih perlahan.

Mengenai prospek, DRB-HICOM berkata, pihaknya menjangkakan prestasi sederhana bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dengan mengambil kira unjuran pertumbuhan ekonomi negara antara 4.0 hingga 4.8 peratus, didorong permintaan domestik yang berdaya tahan.

“Walaupun prospek global kekal mencabar, kumpulan akan terus fokus membina daya tahan melalui strategi pengurusan risiko, memperkukuh transformasi digital dalam segmen Perbankan dan Pos serta mengukuhkan daya saing sektor Aeroangkasa, Perkhidmatan dan Hartanah bagi memastikan pertumbuhan mampan jangka panjang,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN