PETALING JAYA: CAB Cakaran Corporation Berhad (CAB), menerusi anak syarikat milik penuhnya, CAB Cakaran Sdn. Bhd., menandatangani perjanjian pembelian saham bersyarat bagi mengambil alih Cargill Feed Sdn. Bhd. pada nilai RM231 juta.
Setelah selesai pengambilalihan tersebut, CAB akan memiliki kesemua empat kilang makanan haiwan milik Cargill Feed di Malaysia, sekali gus menjadikan CAB bukan lagi sekadar pelanggan, tetapi pemilik kepada semua kilang tersebut.
Pengarah Urusan Kumpulan CAB Cakaran Corporation Berhad, Christopher Chuah Hoon Phong berkata, pengambilalihan itu bagi menyediakan jaminan bekalan makanan haiwan yang boleh dipercayai dan menyokong perancangan pertumbuhan jangka panjang mereka.
“Cargill Feed merupakan antara pembekal utama makanan ayam bagi CAB untuk tempoh masa yang lama. Jadi kini, dengan pengambilalihan ini, kita bukan sahaja dapat menjamin bekalan, malah mampu mengawal kualiti dan harga secara lebih berkesan.
“Kami berhasrat untuk memastikan kualiti makanan haiwan yang konsisten, mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar, serta meminimumkan pendedahan kumpulan terhadap turun naik harga bahan mentah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, perjanjian itu membuka peluang untuk bekerjasama dalam pembangunan makanan haiwan secara inovatif dengan memanfaatkan kepakaran teknikal Cargill Feed.
Cargill Feed kini memiliki empat kilang makanan haiwan yang terletak di Melaka, Butterworth, Westport dan Kota Kinabalu dengan jumlah kapasiti mencecah 400,000 tan metrik setahun.
Cargill memulakan operasi makanan haiwan di Malaysia sejak tahun 1986 dan memfokuskan kepada pengeluaran pelbagai produk pertanian, industri serta penyelesaian nutrisi haiwan.
Dalam pada itu, Cargill Feed menghasilkan pelbagai jenis makanan haiwan komersial yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan nutrisi pelbagai jenis ternakan dan spesies akuakultur. -UTUSAN