HIERARKI adalah susunan atau kedudukan tinggi rendah, sama ada kedudukan di dalam masyarakat atau di dalam sesebuah organisasi.
Ia diambil terus dari perkataan Bahasa Inggeris, ‘hierarchy’ dan dalam dunia automotif, situasi hierarki wujud di dalam jenama-jenama kenderaan.
Contoh terbaik adalah Toyota, di mana kita ada Vios, Rush dan Veloz di peringkat permulaan, dan kita ada Camry, Harrier dan Vellfire/Alphard mewakili genre mewah.
Namun begitu, kita juga ada jenama-jenama dari satu keluarga yang menunjukkan contoh hierarki yang baik.
Di bawah lembayung keluarga Toyota, secara dasarnya kita ada Daihatsu di peringkat permulaan, kemudian Toyota dan di peringkat mewah, Lexus.
Bagi jenama Eropah, tidak ada yang lebih baik boleh kita gunakan sebagai contoh selain dari kumpulan Volkswagen di Malaysia.
Kita ada Volkswagen sendiri di peringkat pengenalan, diikuti dengan Audi dan akhir sekali, Porsche.
Tidak ramai juga yang tahu ketiga-tiga jenama itu sebenarnya datang dari kumpulan yang sama dan seperti jenama-jenama dari kumpulan yang lain, mereka berkongsi platform, enjin dan transmisi yang sama tetapi dengan talaan yang berbeza.
Model Audi Q7 S Line 3.0 TFSI Quattro yang kita uji kali ini menggunakan platform MLB Evo (MLB bermaksud Modular Longitudinal Matrix) dan platform itu juga digunakan oleh Volkswagen Touareg dan Porsche Cayenne. Jika kita teruskan kajian ini, platform tersebut turut digunakan oleh Bentley Bentayga dan Lamborghini Urus.
Penggunaan platform sebenarnya menjimatkan kos pembangunan oleh syarikat kenderaan dan walaupun platform yang sama digunakan, hasilnya berbeza. Audi Q7 ini contohnya, tidak akan sama dengan Volkswagen Touareg dan pastinya, jauh berbeza dari Lamborghini Urus, kenderaan utiliti sukan (SUV) sporty idaman ejen insurans anda.
Dilancarkan secara rasmi bulan Mei lalu, Malaysia adalah negara pertama yang memasang Audi Q7 di Asia Tenggara. Ia juga adalah Audi yang pertama dipasang oleh kilang pemasangan automotif milik DRB Hicom di Pekan, Pahang.
Sebelum itu, Audi pernah dipasang oleh Tan Chong dalam tahun 1990an dan awal era 2000. Antara model-model tersebut ialah Audi 100, Audi A4 dan Audi A6.
Audi Q7 ialah sebuah SUV mewah dengan tujuh tempat duduk dan ia berada di betul-betul di tengah kelompok SUV mewah kategori pertengahan di dalam pasaran tempatan.
- Volkswagen Touareg R-Line 4Motion- RM402,272
- Volvo XC90 B5 Mild Hybrid – RM418,888
- Audi Q7 S Line 3.0 TFSI Quattro – RM462,272
- Lexus RX 350 – RM468,888
- BMW X5 xDrive40i PHEV- RM469,800
- Mercedes-Benz GLE 450 4Matic – RM499,888
Audi Q7 menggunakan trenkuasa hibrid ringan (mild hybrid) 48V di mana enjin V6 3.0L TFSI itu menghasilkan 340 PS dan 500 Nm di mana 50 Nm datang dari bantuan generator elektrik ISG yang dihantar masuk aantara 1,370 ke 4,500 rpm.
Generator ISG yang disambung ke enjin menggunakan tali sawat itu juga mampu menggerakkan SUV ini tanpa bantuan ejin selama 40 saat pada kelajuan antara 55 ke 160 kilometer sejam (kmsj).
Ia juga bermaksud Audi Q7 ini, jika dibandingkan dengan Touareg yang menggunakan enjin yang sama tetapi tanpa sistem hibrid ringan, adalah lebih pantas dalam pecutan 0-100 kmsj (5.6 saat). Halaju maksimum pula ialah 250 kmsj (dibataskan).
Dari segi reka bentuk, ini adalah Q7 versi facelift (versi sebelum ini pernah dijual di Malaysia pada harga RM599,900 CBU) dan kerana itu ia datang dengan lampu hadapan dan gril baharu.
Lampu itu bukan sahaja menarik, tetapi teknologi HD Matrix LED ini cukup terang dengan lampu tinggi laser yang mampu melontarkan cahaya jauh ke hadapan.
Roda aloi Audi Sport V-Spoke bersaiz 22 inci digabungkan dengan kemasan-kemasan S-Line seperti cat hitam pada gril, cermin sisi dan sebagainya menghasilkan rupa paras sebuah SUV yang agresif. Ini penting kerana reka bentuk yang menarik akan menjanjikan jualan yang baik, walaupun dijual pada harga yang tinggi.

Ruang kabin juga mewah dan papan pemuka dilengkapi dengan skrin sesentuh utama bersaiz 10.1 inci. Di bawahnya, ada satu lagi skrin bersaiz 8.6 inci yang digunakan untuk memaparkan kawalan kenderaan seperti pendingin hawa empat zon dan pelbagai fungsi lain.
Paparan meter pula ialah sebesar 12.3 inci yang menghasilkan visual 3D akan kenderaan di sekeliling anda. 10 tahun lalu, ini ialah satu fungsi ‘wow’ tetapi dengan lambakan kereta China yang turut memaparkan fungsi yang sama, penulis hanya mampu menyebut ‘meh’ sahaja sekarang.
Segala kelengkapan mewah dibekalkan di dalam Audi ini, termasuk sistem audio Bang & Olufsen dengan sistem audio 3D premium dari 19 pembesar suara.
Sistem gantungan udara jenis adaptif mampu berubah talaan menurut mod pemanduan yang dipilih tetapi sepanjang tempoh ujian penulis selama seminggu, ia mempunyai kesukaran untuk memberikan pemanduan yang benar-benar selesa dan mewah, atau sporti dan agresif.
Penulis syak berat tayar dan roda yang terlalu berat – saiz roda aloi 22 inci memang terlalu besar dan mungkin menghasilkan isu unsprung weight atau berat gantungan kombinasi roda dan tayar yang melampau, menjadikan pemanduan di atas jalan tidak rata sedikit kasar untuk kategori ini.
Pemanduan di dalam kawasan urban, di atas lebuh raya dan di laluan persekutuan menunjukan Audi ini lebih meyakinkan berbanding dengan Touareg dan Volvo XC90 serta pesaing dari Asia. Gaya mengambil selekoh terasa lebih jitu kerana sistem AWD Quattro dan juga kemampuan roda belakang untuk turut membelok (Rear-Wheel Steering), kesemuanya mengukir senyuman kepada pemandu yang gemarkan kenderaan yang agresif.
Ruang barisan ketiga lebih kepada anak-anak remaja kerana ia tidak begitu besar – sama seperti tempat duduk di dalam GLE dan juga XC90, cuma mungkin Volvo itu terasa lebih lapang kerana bentuk tempat duduk yang lebih ergonomik.
Kedudukan suis dan juga fungsi-fungsi di dalam Q7 ini mungkin memerlukan masa untuk pemandu membiasakan diri tetapi penulis syak tidak ramai yang akan sering menggunakannya pun selepas beberapa bulan. Memang ini ialah masalah kenderaan sekarang, semakin canggih dan semakin banyak fungsi yang boleh dikawal.
Harga pula ialah RM462,272 dengan jaminan dua tahun tetapi jika anda mahukan pakej perlindungan yang lebih lengkap, bayar tambahan RM20,000 untuk jaminan lima tahun atau 150,000 km, pakej servis untuk lima tahun atau 75,000 km (mana terdahulu) dan bantuan roadside selama lima tahun.
Apapun, Q7 ini menjanjikan pemanduan gaya Eropah premium yang sedikit berbeza dari BMW dan Mercedes-Benz dan pastinya dari Volkswagen. – UTUSAN










