PETALING JAYA: Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melarang Ahmad Aljafree Mohd. Razalli (Aljafree) daripada menerima sebagai pelanggan dan mengaudit mana-mana entiti berkepentingan awam (PIE) atau kumpulan wang jadual untuk tempoh setahun, mulai 30 April 2025.
SC berkata, AOB turut mengenakannya denda sebanyak RM50,000.
Katanya, Ahmad Aljafree ialah rakan kongsi Al Jafree Salihin Kuzaimi PLT, sebuah firma audit yang berdaftar dengan AOB.
“Dia merupakan rakan kongsi tugasan pelanggan syarikat awam tersenarai (PLC) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020 dan 30 Jun 2021.
“Dia telah gagal mematuhi Piawaian Pengauditan Antarabangsa (ISA) yang berkaitan dalam bidang pelarasan tahun sebelumnya, hartanah, loji dan peralatan, baki pembukaan dan penyatuan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut SC, Aljafree membuat rayuan kepada SC terhadap penalti yang dikenakan AOB namun dia tidak membuat rayuan terhadap larangan yang dikenakan.
“SC menolak rayuan tersebut dan mengesahkan keputusan AOB mengenai penalti monetari,” katanya. – UTUSAN










