PETALING JAYA: Ajinomoto (Malaysia) Berhad melancarkan kempen “Seribu Rasa, Satu Cinta sempena sambutan bulan kemerdekaan yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik serta hadiah keseluruhan bernilai RM20,000.
Hadiah tersebut termasuk baucar percutian domestik dan kredit Touch ‘n Go eWallet menerusi peraduan Beli & Menang, selain tawaran Set Bundle Merdeka eksklusif di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.
Set itu turut menampilkan empat pinggan edisi terhad dengan rekaan khas diinspirasikan daripada hidangan ikonik Malaysia.
Menurut syarikat itu, kempen berkenaan merupakan penghormatan terhadap kepelbagaian budaya dan cita rasa negara yang menyatukan rakyat Malaysia, selaras dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Walaupun kita mempunyai seribu rasa, kita berkongsi satu cinta untuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Bagi mengukuhkan lagi mesej perpaduan, Ajinomoto turut bekerjasama dengan pempengaruh tempatan serta pencipta kandungan bagi menyemarakkan sambutan melalui platform digital, selain paparan interaktif di kedai dan permainan menarik untuk orang ramai.
Kempen itu turut menampilkan video khas Merdeka di saluran YouTube Ajinomoto yang mengisahkan perjalanan empat sahabat dalam usaha mendapatkan semula resipi Malaysia yang hilang, dengan mesej menyentuh hati mengenai kebersamaan.
Sambutan akan diteruskan dengan pengisian meriah di Festival Budaya Malaysia di Taman Tasik Titiwangsa dari 12 hingga 16 September, diikuti Festival Permainan Malaysia di Dataran Putrajaya pada 26 hingga 28 September.
Orang ramai berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti permainan interaktif, paparan bertema dan pengalaman menyeronokkan yang menonjolkan semangat perpaduan.
Ajinomoto (Malaysia) Berhad menjemput semua rakyat untuk bersama-sama meraikan perjalanan “Seribu Rasa, Satu Cinta” sebagai simbol kebanggaan terhadap cita rasa dan budaya yang menyatukan negara.-UTUSAN