Airbnb sumbang RM9.2 bilion kepada ekonomi Malaysia pada 2024

Airbnb sumbang RM9.2 bilion kepada ekonomi Malaysia pada 2024

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Platform penginapan jangka pendek global, Airbnb menyumbang RM9.2 bilion kepada ekonomi Malaysia sepanjang 2024, menurut laporan terkini oleh Oxford Economics.

Jumlah ini mewakili kira-kira lima  peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pelancongan negara, menjadikan Airbnb sebagai antara penyumbang utama dalam ekosistem pelancongan dan ekonomi negara pasca pandemik.

Kajian yang bertajuk ‘The Economic Impact of Airbnb in Malaysia’ itu turut mendedahkan aktiviti yang dijana melalui Airbnb telah menyokong sekitar 93,600 pekerjaan dan menyumbang RM2.1 bilion dalam bentuk pendapatan gaji kepada rakyat Malaysia sepanjang 2024.

Dalam laporan itu menunjukkan pelancongan domestik terus menjadi pemacu utama pertumbuhan sektor pelancongan dengan pelawat tempatan menyumbang 67 peratus daripada jumlah keseluruhan tetamu Airbnb di Malaysia pada 2024.

“Ini menunjukkan pemulihan kukuh pasca Covid-19, malah melepasi tahap sebelum pandemik pada 2019.

“Sementara itu, tetamu antarabangsa menyumbang 33 peratus daripada jumlah keseluruhan penginapan Airbnb, lebih dua kali ganda berbanding tahun 2022.

“Data ini turut mencerminkan peningkatan daya tarikan Malaysia di peringkat antarabangsa, terutamanya di rantau Asia Pasifik, yang menyumbang lebih 80 peratus daripada tetamu antarabangsa Airbnb,” katanya dalam laporan terkini oleh Oxford Economics.

Pengarah Perundingan Ekonomi Asia di Oxford Economics, James Lambert berkata, pemulihan pelancongan Malaysia mencerminkan permintaan kukuh terhadap perjalanan domestik.

“Airbnb memainkan peranan penting dalam membuka potensi pelancongan luar bandar, memperluaskan manfaat ekonomi ke lebih banyak komuniti di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, , Ketua Negara Airbnb bagi Asia Tenggara dan India, Amanpreet Bajaj berkata, pihaknya  berbesar hati melihat pemulihan sektor pelancongan Malaysia semakin kukuh, terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Dengan lebih separuh tempahan berlaku di luar kawasan bandar utama, Airbnb membantu menyebarkan manfaat ekonomi kepada lebih banyak komuniti tempatan,” katanya.

Dari segi perbelanjaan, tetamu Airbnb di Malaysia telah membelanjakan RM11 bilion sepanjang 2024 merangkumi kos penginapan dan perbelanjaan lain seperti makanan, membeli-belah dan pengangkutan.

“Purata penginapan adalah selama dua malam, dengan purata perbelanjaan harian RM640 untuk barangan dan perkhidmatan bukan penginapan.

“Agihan perbelanjaan menunjukkan bahawa bagi setiap RM1,000 yang dibelanjakan RM290 dibelanjakan untuk restoran dan membeli-belah, RM160 untuk seni dan hiburan, RM140 untuk pengangkutan dan RM110 untuk barangan runcit,” katanya.

Selain itu, Airbnb turut menyumbang kepada sektor-sektor ekonomi lain, antaranya RM1.4 bilion kepada sektor pembuatan, RM1.2 bilion kepada sektor pengangkutan dan penyimpanan, RM1.2 bilion kepada perkhidmatan makanan dan minuman dan lebih RM1.0 bilion kepada sektor perdagangan borong dan runcit.

Secara keseluruhan, Airbnb menyokong 37,200 pekerjaan dalam sektor makanan dan minuman, 13,400 pekerjaan dalam perdagangan runcit, 10,300 pekerjaan dalam sektor pengangkutan dan penyimpanan serta 9,700 pekerjaan dalam seni dan hiburan.

Dalam bentuk pendapatan gaji, aktiviti Airbnb menyumbang iaitu RM376 juta dalam sektor makanan dan minuman, RM332 juta dalam sektor pembuatan dan RM281 juta dalam sektor pengangkutan dan penyimpanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN