PETALING JAYA: AFFIN Group mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM267.6 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025 berbanding RM228.8 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Selain itu, kumpulan turut mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) selepas zakat sebanyak RM358 juta bagi tempoh itu meningkat RM64.9 juta atau 22.1 peratus berbanding RM293.1 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Pertumbuhan tersebut dipacu oleh kenaikan pendapatan bersih sebanyak RM160.9 juta, sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan peruntukan penurunan nilai sebanyak RM80.2 juta.
Portfolio pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan meningkat 7.3 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada RM74.1 bilion berbanding RM69.0 bilion tahun sebelumnya.
Deposit pelanggan turut naik 9.8 peratus kepada RM78.2 bilion, manakala nisbah Akaun Semasa dan Simpanan (CASA) bertambah baik kepada 28.2 peratus setakat 30 Jun 2025 berbanding 25.9 peratus dalam tempoh sama tahun lalu, mencerminkan kejayaan berterusan AFFIN membina asas deposit kos rendah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, prestasi kukuh separuh pertama tahun ini membuktikan keberkesanan strategi pertumbuhan fokus di bawah Pelan Axelerate 2028 (AX28).
Jelasnya, pelancaran aplikasi perbankan mudah alih AffinAlwaysX pada Mei 2025 menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan CASA.
“Terbitan pertama Nota Tidak Bercagar Kanan bernilai AS$300 juta telah terlebih langgan sebanyak 3.5 kali, menandakan keyakinan tinggi pelabur global.
“Langkah itu mengukuhkan akses kumpulan kepada pembiayaan dolar AS (USD) kos efektif serta memperkukuh kedudukan untuk meneroka peluang pembiayaan rentas sempadan strategik sejajar dengan AX28.
“Walaupun deposit CASA meningkat 19.6 peratus tahun ke tahun, kumpulan mencatatkan penurunan suku ke suku sebanyak 9.2 peratus berikutan peralihan kepada Deposit Tetap susulan ketidaktentuan pasaran global.
“AFFIN kini melaksanakan strategi gaji CASA baharu bagi merancakkan semula pertumbuhan CASA. Perbankan Perusahaan juga terus berkembang dengan peningkatan pinjaman 15.4 peratus tahun ke tahun, dijangka memberi kesan positif kepada Margin Faedah Bersih kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) AFFIN turut mendapat pengiktirafan apabila penarafan MSCI ESG kumpulan dinaik taraf daripada ‘A’ kepada ‘AA’.
Beliau berkata, saluran pinjaman kumpulan juga berkembang ketara kepada RM13 bilion berbanding RM9 bilion pada suku pertama, menawarkan potensi kukuh untuk peluang masa depan dan jualan silang CASA.
“Walaupun sebahagian urus niaga tertangguh sementara akibat volatiliti pasaran, momentum asas kekal kukuh.
“2025 kekal sebagai tahun VUCA, ditandai oleh Volatiliti, Ketidaktentuan, Kompleksiti dan Kekaburan. Kejayaan akan bergantung kepada masa, pelaksanaan dan kecekapan strategik,” katanya.-UTUSAN