Aeon catat untung bersih RM12.27 juta pada suku kedua 

Aeon catat untung bersih RM12.27 juta pada suku kedua 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aeon Co. (M) Bhd. (Aeon) mencatatkan keuntungan bersih pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 merosot sebanyak 55.9 peratus kepada RM12.27 juta, prestasi suku tahunan terendah sejak suku ketiga tahun kewangan 2023.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ini disebabkan oleh prestasi runcit yang lemah berikutan ketiadaan sambutan perayaan utama pada suku berkenaan,  Aeon .

Pendapatannya bagi suku berkenaan jatuh 2.1 peratus tahun ke tahun kepada RM999.65 juta daripada RM1.02 bilion, disebabkan oleh penurunan 3.8 peratus dalam perniagaan runcit kepada RM805.4 juta, yang sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan 5.5 peratus dalam perkhidmatan pengurusan hartanah kepada RM194.2 juta.

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2025, keuntungan bersih Aeon merosot 5.6 peratus kepada RM80.4 juta daripada RM85.2 juta, walaupun hasil meningkat 2.6 peratus kepada RM2.24 bilion daripada RM2.19 bilion.

Pengarah Urusannya, Naoya Okada berkata, syarikat sentiasa komited memperkukuh asas perniagaan selain meningkatkan nilai pelanggan serta memacu daya saing jangka panjang.

“Aeon akan terus memperluas rangkaian jenama sendiri, mempercepat transformasi digital, mengoptimumkan gabungan penyewa serta memaksimumkan nilai ruang runcit bagi menarik lebih ramai pelanggan,” katanya.

Tambah beliau, Aeon turut mengukuhkan perniagaan di Negeri Sembilan dengan projek peluasan Aeon Mall Seremban 2 yang dijangka siap pada 2027.

“Setelah siap, pusat beli-belah itu bakal menjadi yang terbesar di negeri tersebut dengan keluasan lantai bersih disewa melebihi 700,000 kaki persegi.

“Di Perak, syarikat sedang melaksanakan beberapa inisiatif termasuk pembukaan semula Aeon Ipoh Station 18 dengan wajah baharu, pembangunan semula serta peluasan Aeon Mall Kinta City dan perjanjian pajakan jangka panjang bagi Aeon Mall Seri Manjung,” katanya. 

Aeon turut menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian di beberapa pasar raya dan pusat beli-belah terpilih sebagai komitmen syarikat untuk kekal relevan dengan landskap peruncitan yang sentiasa berubah.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN