Bali henti pembinaan lif kaca di Pantai Kelingking

Bali henti pembinaan lif kaca di Pantai Kelingking

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALI: Pihak berkuasa Bali menggantung pembinaan lif kaca setinggi 182 meter di lokasi tebing paling banyak dirakam di wilayah itu, selepas projek tersebut mencetus kemarahan penduduk.

Lif di Pantai Kelingking yang dibangunkan oleh syarikat China Kaishi Group, sepatutnya memudahkan pelancong turun ke pantai.

Namun gambar-gambar tular di media sosial yang menunjukkan tiang lif pertama menembusi tebing ikonik digelar ‘Tebing T-Rex’ itu menimbulkan kemarahan penduduk tempatan dan pelancong yang mendakwa ia merosakkan keindahan semula jadi kawasan tersebut serta mempercepat hakisan.

Pihak berkuasa turut mendapati projek itu tidak memperoleh permit yang diperlukan.

“Sayang sekali pemandangan indah Pantai Kelingking musnah akibat projek lif ini. Pelancong datang ke Nusa Penida untuk menikmati panorama indah, bukan lif,” kata penduduk tempatan, Made Sediana kepada akhbar Bali Sun.

Senator Bali, Niluh Djelantik lantang menentang pembinaan lif kaca tersebut.

“Sejak sebelum lif ini dibina lagi, kami sudah menyuarakan bantahan. Risikonya terlalu besar.

“Nikmatilah keindahan Bali dengan bijak. Jangan bina akses yang seolah-olah membawa pelancong ke pintu bencana,” tulisnya di Facebook sehari sebelum pengumuman penggantungan projek itu.

Tidak jelas berapa lama penggantungan itu akan berlangsung. Ada pihak menggesa pihak berkuasa membaiki tangga yang menghubungkan tebing ke pantai, bukan meneruskan projek seperti itu.

Projek lif berkenaan bernilai 5.8 juta pound (RM31.76 juta) , menurut laporan media tempatan.

Kini, pendakian dari tebing ke pantai mengambil masa antara 45 hingga 60 minit melalui laluan curam, manakala mendaki semula boleh memakan masa sehingga dua jam.

Ada juga yang bimbang projek memudahkan akses ke pantai boleh meningkatkan risiko kemalangan renang.

Walaupun pemandangannya menakjubkan, berenang tidak dibenarkan di Pantai Kelingking kerana garis pantainya yang sempit dan ombak besar namun ramai yang mengabaikan amaran, menyebabkan beberapa kematian dan kecederaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN