Systech, BDIB, PKB pacu integrasi AI rentas sempadan

Systech, BDIB, PKB pacu integrasi AI rentas sempadan

MAJLIS menandatangani memeterai memorandum kerjasama strategik antara Systech, BDIB dan PKB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Systech Bhd. (Systech) memeterai memorandum kerjasama strategik (SCM) bersama Beijing Daxing International Business Service Co. Ltd. (BDIB) dan Permodalan Kedah Berhad (PKB) bagi memperkukuh pembangunan kecerdasan buatan (AI) rentas sempadan, integrasi ekonomi digital dan infrastruktur serantau.

Kerjasama itu turut membuka lembaran baharu hubungan dagang digital antara Malaysia dan China dengan Systech memainkan peranan sebagai rakan strategik tempatan, khususnya dalam penyediaan sokongan pendaratan perusahaan digital China yang ingin berkembang ke pasaran antarabangsa melalui Malaysia.

Pengarah Urusan Systech, Datuk Derrick Hooi berkata, pakatan itu bukan sekadar peluasan pasaran, sebaliknya membina satu ekosistem digital dua hala yang mampan.

“Kepakaran Systech dalam AI dan keselamatan siber akan digabungkan dengan kekuatan infrastruktur PKB serta rangkaian antarabangsa BDIB untuk memacu integrasi digital rentas sempadan secara lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Mohd. Azad Jasmi berkata, kerjasama itu sejajar dengan usaha negeri untuk menarik pelaburan berimpak tinggi dalam sektor digital.

“Ekonomi digital menawarkan potensi besar untuk Kedah. 

“Kerjasama ini akan membantu menjadikan negeri ini sebagai destinasi utama bagi syarikat AI dan teknologi global, sekali gus menyumbang kepada pembangunan infrastruktur serta penyediaan tanah secara strategik,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif BDIB, Chang Xuezhi pula berkata, Malaysia dilihat sebagai lokasi ideal untuk perluasan teknologi digital China ke Asia Tenggara kerana kestabilan dan persekitarannya yang mesra pelabur.

“Kerjasama ini akan menjadi platform pelancaran bagi syarikat China meneroka peluang serantau dan pada masa sama menarik pelaburan Malaysia ke Hab melalui sinergi bersama Systech dan PKB,” ujarnya.

SCM itu turut merangkumi penubuhan pusat perkhidmatan luar negara, program pertukaran dua hala serta penyediaan sokongan teknikal seperti nasihat pematuhan, pemadanan bakat dan penjenamaan syarikat digital.

Inisiatif itu juga seiring aspirasi kerajaan di bawah rangka kerja MyDIGITAL dan matlamat Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi penggunaan AI secara bertanggungjawab.

Perjanjian itu akan berkuat kuasa selama setahun bagi fasa pertama dengan pasukan kerja khas akan mengenal pasti projek utama untuk pelaksanaan segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN