PETALING JAYA: Standard Chartered Malaysia dan Standard Chartered Saadiq menurunkan Kadar Asas Standard, Kadar Asas dan Kadar Pinjaman/Pembiayaan Asas masing-masing kepada 2.75 peratus, 3.27 peratus dan 6.45 peratus berkuat kuasa 16 Julai 2025.
Menurut kenyataannya, penurunan 25 mata asas ini juga akan terpakai kepada kadar deposit berjangka runcit dan kadar deposit berjangka-i bank di semua tempoh matang.
“Ini berikutan keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia pada 9 Julai 2025.
“Bank pusat menyatakan keputusan itu adalah langkah awal untuk mengekalkan laluan pertumbuhan Malaysia yang stabil di tengah-tengah prospek inflasi sederhana,” katanya. – UTUSAN