PETALING JAYA: Skim Rel Akhir bagi Laluan Lingkaran MRT3 telah diluluskan secara rasmi dan ditandatangani oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) berkata, kelulusan itu menyusuli langkah pemeriksaan awam yang dilaksanakan pada 2 September hingga 2 Disember 2024 yang telah menerima lebih 45,000 maklum balas bertulis.
“Sebanyak 93.3 peratus daripada maklum balas itu memberi sokongan terhadap projek itu yang memaparkan sokongan padu orang awam dan pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Laluan Lingkaran MRT3 merupakan laluan sepanjang 51 kilometer bagi perimeter atau lingkungan Kuala Lumpur, diintegrasikan sepenuhnya menerusi 10 stesen pertukaran strategik untuk membolehkan perjalanan dua hala secara lancar di seluruh Lembah Klang.
MRT Corp berkata, beberapa penambahbaikan juga turut dilakukan ke atas penempatan stesen dan jejambat sepanjang laluan projek serta reka bentuk sistem rel Laluan Lingkaran MRT3.
Menurutnya, jumlah lot tanah yang diperlukan juga telah dikurangkan daripada 1,012 kepada 690 lot yang meminimumkan impak ke atas komuniti terlibat.
“Menerusi kelulusan ini, proses pengambilalihan tanah dapat dimulakan dan disasarkan untuk siap menjelang akhir 2026.
“MRT Corp akan menghubungi komuniti terbabit serta memaklumkan mengenai penambahbaikan di kawasan berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN