PETALING JAYA: Inisiatif kelestarian utama UEM Sunrise Berhad, SIREH Park di Iskandar Puteri, Johor diiktiraf sebagai Taman Rekreasi Komuniti Hijau Bandar Terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBR).
Pengiktirafan tersebut disampaikan semasa majlis ulang tahun ke-30 MBR yang berlangsung di One World Hotel, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Pegawai Bertanggungjawab merangkap Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise, Hafizuddin Sulaiman berkata, pengiktirafan itu mencerminkan pendekatan perancangan bersepadu syarikat yang menyokong aspek kelestarian, biodiversiti dan nilai komuniti.
“SIREH Park dibangunkan bukan sekadar ruang hijau, tetapi sebagai ekosistem yang menyumbang kepada pendidikan, rekreasi dan penjagaan alam sekitar.
“Kami alu-alukan kerjasama lebih banyak pihak dalam memacu inisiatif berasaskan komuniti,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, taman seluas 138.80 hektar itu dibangunkan semula daripada ladang kelapa dan hutan sekunder sebagai sebahagian komitmen jangka panjang UEM Sunrise dalam pembangunan bandar lestari.
Ia diuruskan oleh The Nusajaya Natural Heritage Trust (TNNHT) dan mula diwujudkan pada 2017.
Setakat ini, lebih 10,000 pokok spesies tempatan telah ditanam termasuk yang tersenarai dalam Red List oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN) dengan sasaran mencapai 25,000 pokok menjelang 2028 menerusi program ‘Plant That Tree’.
Taman tersebut juga memperkenalkan sistem tanah lembap bagi menambah baik kualiti air dan menyokong biodiversiti.
Kini, ia menjadi habitat kepada lebih 120 spesies tumbuhan dan 35 spesies burung dengan pemantauan dijalankan bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan rakan penyelidik tempatan.
Dengan landskap menghijau, tasik semula jadi, dan laluan berbukit, SIREH Park menawarkan pelbagai kemudahan untuk riadah keluarga, fotografi serta aktiviti mendaki, berbasikal dan larian.
UEM Sunrise menyifatkan taman itu sebagai contoh bagaimana infrastruktur hijau mampu meningkatkan nilai pembangunan bandar secara mampan.
Terletak berhampiran pembangunan utama seperti Horizon Hills, East Ledang, Nusa Idaman dan Gerbang Nusajaya, SIREH Park berfungsi sebagai nadi hijau dalam pelan induk Iskandar Puteri, sekaligus meningkatkan kebolehdiaman kawasan tersebut. – UTUSAN