PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Universiti Durham telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Durham untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang kewangan Islam dan pasaran modal Islam (ICM).
Kerjasama itu turut melancarkan Kursus Musim Panas Pasaran ModaL Islam (ICM Summer School) bersama Pusat Ekonomi dan Kewangan Islam Durham, Pengajian Perniagaan Universiti Durham.
Program tersebut bertujuan memperkukuhkan individu dengan kemahiran kepimpinan strategik, pengetahuan teknikal, dan pemahaman mendalam tentang amalan Maqasid al-Shariah dalam pasaran modal Islam.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, program ini adalah satu langkah penting untuk melahirkan pemimpin berwawasan yang bakal memajukan kapasiti dan pemikiran strategik dalam kewangan Islam.
“Dengan menerapkan prinsip Maqasid al-Shariah, kami menyasarkan untuk membina pasaran modal yang beretika, mampan dan inovatif. Kerjasama dengan Universiti Durham ini melengkapkan golongan profesional ke arah mengukuhkan kepimpinan global Malaysia dalam kewangan Islam.
“SC menyasarkan Maqasid al-Shariah menjadi faktor pembeza strategik, memacu inovasi dan kerjasama dalam kalangan badan kawal selia dan pemain industri Islam di seluruh dunia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggariskan inisiatif tersebut mencerminkan komitmen yang kuat untuk memajukan nilai-nilai yang digariskan dalam Maqasid al Shariah Islamic Capital Market Guidance yang diperkenalkan mereka pada 2023.
Sementara itu, Naib Canselor dan Warden Universiti Durham, Prof. Karen O’Brien berkata, kerjasama ini akan terus melatih dan memberi inspirasi kepada pemimpin semasa dan masa depan dalam industri kewangan Islam dengan menegakkan dan mengukuhkan tradisi pemikiran, amalan dan kepimpinan.
“Sejak tahun 2006, Summer School Kewangan Islam Durham telah melatih lebih 1,500 individu daripada pelbagai latar belakang di seluruh dunia. Kerjasama dengan SC ini bakal memperluaskan lagi impak pendidikan kewangan Islam secara global dan membolehkan penyelidikan serta pendekatan berasaskan prinsip syariah terus berkembang,” katanya.
Untuk rekod, Program Summer School ICM akan dilaksanakan selama tiga tahun bermula dari 2025 sehingga 2027 dengan satu kohort setiap tahun.
Kohort pertama akan bermula pada suku ketiga tahun ini, melibatkan seramai 15 peserta dalam program hibrid selama sebulan.
Peserta program akan mengikuti modul intensif secara dalam talian sebelum menghadiri kelas induk selama lima hari di Universiti Durham dan akan menerima pensijilan bersama daripada SC dan universiti tersebut.
Antara program yang ditawarkan termasuk bidang utama iaitu sukuk, ekuiti Islam, produk patuh syariah, fintech, kemampanan, rangka kerja kawal selia dan inovasi produk. – UTUSAN