PETALING JAYA:Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (Pro-Net), anak syarikat Proton memperkenalkan varian baharu model Proton e.MAS 7 dengan penambahbaikan meliputi aspek rekaan, sistem pintar dan keselamatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, segala penambahbaikan pada varian terbaharu e.Mas 7 merupakan hasil maklum balas daripada pelanggan yang telah memiliki model tersebut.
“Pelancaran varian baharu e.MAS 7 ini adalah tindak balas langsung terhadap apa yang disuarakan oleh pemilik kami daripada apa yang mereka suka dan inginkan, hinggalah kepada aspek yang boleh kami pertingkatkan. Ini kami menunjukkan kami mengambil serius terhadap maklum balas setiap pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, penambahbaikan itu bukan sekadar menambah ciri baharu, tetapi memastikan keseluruhan pengalaman pemanduan e.MAS 7 kekal peribadi, pintar dan boleh dipercayai.
“Antara perubahan paling ketara ialah pengenalan warna luaran baharu, Obsidian Black, yang direka bagi memenuhi permintaan tinggi pembeli yang mahukan gaya lebih elegan dan moden.
“Selain itu, Pro-Net juga menawarkan dua varian Premium, Quartz Rose dan Turquoise Green bagi pilihan dalaman eksklusif Alabaster White, namun hanya terhad kepada hanya 250 unit setiap satu, menjadikan ia lebih eksklusif,’ katanya.
Seterusnya, dari segi teknologi, sistem operasi Flyme Auto kini dikemas kini dengan sokongan kepada lebih banyak aplikasi pihak ketiga seperti Zoom for Cars, izi.TRAVEL dan Vivaldi Browser, menjadikan suasana lebih interaktif dan sesuai untuk gaya hidup moden.
Ciri Apple CarPlay yang ditunggu-tunggu juga kini tersedia dalam format berwayar dan tanpa wayar, manakala Android Auto dijangka diperkenal hujung tahun ini.
Selain itu, sistem amaran bunyi kelajuan rendah juga ditambah baik dengan tiga pilihan nada – Classical, Galactic Note dan Space Walk, sebagai ciri keselamatan tambahan untuk memberi amaran kepada pejalan kaki apabila kenderaan bergerak perlahan.
Bagi memberi lebih nilai kepada pelanggan, Pro-Net turut memperkenalkan pakej pemilikan baharu dikenali sebagai Power Pack+ yang menjamin pemilikan EV lebih mudah dan berbaloi.
Pakej itu merangkumi pengecas rumah 7kW percuma bernilai RM1,500, fungsi V2L percuma bernilai RM500, data internet tanpa had selama lima tahun bernilai RM1,800, waranti tanpa had perbatuan selama enam tahun untuk kenderaan, serta waranti selama lapan tahun atau 160,000 kilometer bagi bateri voltan tinggi dan rebat tukar beli bernilai RM5,000
Dalam pada itu, kesemua model e.MAS 7 kini turut didatangkan secara standard dengan penutup ruang barangan (tonneau cover), termasuk untuk pemilik sedia ada yang akan menerima aksesori itu secara percuma dalam masa terdekat.
Model varian baharu e.MAS 7 itu kini boleh didapati di semua pengedar sah Proton e.MAS di seluruh negara.-UTUSAN